Dasar beri ubat percuma diteruskan

Wednesday, January 09, 2013

Dasar beri ubat percuma diteruskan

Kementerian Kesihatan semalam menafikan dakwaan pembangkang kononnya pengedaran ubat-ubatan secara percuma terutamanya kepada golongan pesakit berpendapatan rendah akan dihentikan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kementerian melalui Dasar Ubat Nasional (DUNAS) telah menetapkan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat, berkesan dan mampu dimiliki oleh orang ramai dapat diperoleh secara sama rata ke arah meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

"Pada tahun lepas, perbelanjaan membiayai ubat-ubatan pesakit mencecah hampir RM1.8 bilion namun rakyat tetap dibekalkan ubat secara percuma di semua fasiliti kementerian," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Portal berita pembangkang pada 2 Januari lepas memetik Pengerusi Biro Kepenggunaan Keadilan, Yahya Sahri yang mendakwa kononnya orang ramai tidak lagi berpeluang mendapat ubat percuma dari hospital atau klinik kerajaan sebaliknya perlu menanggung sendiri kos itu ekoran dasar baharu yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan tidak lama lagi.

Yahya turut mendakwa kononnya Kerajaan Persekutuan menanggung RM1.2 bilion untuk membiayai ubat-ubatan pesakit dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun dan oleh sebab itu, kementerian dikatakan terpaksa menghentikan pengedaran ubat-ubatan secara percuma.

Rosnah bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembiayaan ubat-ubatan meningkat disebabkan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, kardiovaskular, respiratori dan kanser.

"Kemajuan inovasi telah meningkatkan penggunaan ubat-ubatan baharu yang lebih mahal menggantikan ubat sedia ada yang lebih murah," tambahnya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI