Kempen My Sayang: Menangi RM5,000 #MySyg

Friday, August 10, 2012

Menangi RM5,000 #MySyg 

Rakyat berpeluang memenangi wang tunai RM5,000 dengan menyertai kempen My Sayang (#MySyg) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia tahun ini.

Kempen julung kali anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu bertujuan menggalakkan rakyat berkongsi kisah menarik mengenai negara ini kepada seluruh dunia menerusi format video, gambar dan teks.

Pengurus Besar Kumpulan, Media Baru dan Pemasaran Bersepadu, MPB, Lam Swee Kim berkata, hingga ini, lebih 500 penyertaan diterima sejak program itu dilancarkan bulan lalu.

Penyertaan 3 kategori

Lebih menarik, katanya setiap penyertaan diterima, membabitkan tiga kategori iaitu menerusi teks, video dan gambar mempunyai cerita dan nilai estetika tersendiri serta kreatif.

"Penyertaan yang kami sifatkan sebagai satu inspirasi kepada rakyat Malaysia ternyata menggalakkan. Kempen ini juga secara tidak langsung mampu memupuk rasa cinta rakyat kepada negara.

Kongsi cerita

"Bahkan peserta bukan saja dapat berkongsi cerita, malah turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM5,000 bagi setiap kategori dipertandingkan," katanya.

Lam Swee berkata, banyak penyertaan yang diterima juga daripada kategori foto dan teks berbanding video.

"Jadi kita galakkan lebih banyak penyertaan kategori video, peserta tidak perlu merakamkan video itu secara profesional, sebaliknya cukup dengan menggunakan telefon bimbit atau kamera video," katanya.

Penyertaan rakaman

Penyertaan secara rakaman video, teks dan gambar boleh dihantar melalui laman web www.mysyg.com.my.

Bagi penyertaan kategori video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit manakala teks pula tidak melebihi 150 perkataan.

Bagi penyertaan bergambar pula, peserta boleh menghantar ekspresi wajah unik atau gambar kreatif.

Sebanyak lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori dipilih melalui 70 peratus undian awam dan 30 peratus undian juri profesional.

Penyertaan boleh dihantar sebelum atau pada 15 Ogos ini dan keputusan pemenang kempen #MYSyg akan diumumkan 15 September depan.

 

ZONFINITI