Filem Melayu pertama Laila Majnun terbit 1933

Thursday, July 05, 2012

Sejarah Filem Melayu

Sejarah awal penerbitan filem cereka Melayu dikatakan bermula pada 1933 berjudul Laila Majnun. Ia ditayangkan pada 1934 di panggung wayang Alhambra, Singapura. Pada masa itu sambutannya dilaporkan cukup baik tetapi dikatakan penerbitnya tetap rugi kerana harga tiket masa itu terlalu murah iaitu sekitar 25 sen seorang dan pawagam pula terhad.

Seperti dilaporkan dalam majalah berjudul Bumiputera terbitan 20 April 1934, sambutan terhadap Laila Majnun cukup memberangsangkan apabila pawagam penuh sesak selama seminggu ia ditayangkan di Singapura, kemudian ditayangkan pula di pawagam di Pulau Pinang. Sambutan baik itu bukan saja kerana ia menjadi filem Melayu pertama tetapi kerana dibintangi dua bintang terkenal iaitu M Suki atau Marzuki Nordin yang popular menerusi pentas bangsawan, manakala heroinnya ialah Fatimah Jasmin penyanyi popular ketika itu.

Cerita untuk filem ini diadaptasikan atau disadur daripada kisah popular pentas bangsawan ketika itu. Untuk versi filemnya, ia diterbitkan oleh seorang jutawan dari India, SM Chisty menerusi syarikat Motilal Chemical Ltd co of Bombay cawangan Singapura. Selain M Suki dan Fatimah Jasmin, Laila Majnun turut dibintangi Syed Ali Mansor Al-Attas, menerusi arahan BS Rajhans.

Kos produksi Laila Majnun ketika itu dilaporkan cuma sekitar S$5,000 dengan lokasi sekitar Singapura.

Namun, ketika itu, pada tahun sama satu lagi filem berlatarkan watak orang Melayu di Tanah Melayu turut ditayangkan menerusi judul Fisherman atau Nelayan. Ia dibintangi pelakon bernama Khairuddin. Namun, sejarah industri filem Malaysia bagaikan menolak fakta ini kerana dikatakan Fisherman adalah sebuah dokumentari drama terbitan syarikat luar negara dan sekadar menggunakan latar belakang di Tanah Melayu.

Studio Cathay Keris turut menghasilkan filem dengan judul yang sama Laila Majnun dalam versi tahun 1962 menerusi arahan BN Rao, juga pengarah dari India. Filem ini dibintangi dua watak utama Nordin Ahmad dan Latifah Omar, selain dibantu Ahmad Nisfu dan Umi Kalthum.

Ia mengisahkan percintaan antara Qais dan Laila yang dihalang akibat darjat dan status, sekali gus menjadikan cinta sejati mereka sentiasa dilanda derita kerana ditentang bapa Laila, Orang Kaya Amir. Sejak kecil, hubungan Laila dengan Qais sering dihalang, lalu Orang Kaya Amir sekeluarga berpindah ke tempat lain, menyebabkan Qais amat sedih dan kecewa, lalu berusaha menjejaki kekasihnya itu sehinggalah dia dewasa.

~ Bipop

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI