Sam Chong, rakyat Malaysia individu kaya Australia

Wednesday, May 30, 2012

Pengusaha lombong Sam Chong muncul sebagai bilionair kelahiran Malaysia pertama di Australia memasuki senarai 200 Orang Paling Kaya yang didedahkan majalah Business Review Weekly (BRW) minggu lalu.

Jumlah kekayaan Chong, 69, yang berasal dari Tanah Rata, Cameron Highlands, meningkat sebanyak A$50 juta (RM153.623 juta) tahun ini kepada A$950 juta (RM2.918 bilion).

Ia membolehkan bapa kepada seorang anak itu berada di kedudukan ke-27 dalam senarai.

Chong datang ke Australia pada 1973 untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan perlombongan di University of New South Wales, Sydney.

BRW berkata, Chong menceburi pelbagai peranan dalam bidang perlombongan selepas tamat pengajian dan seterusnya menyandang jawatan penting dalam Queensland Coal Mine Management, kini dikenali sebagai Jellinbah Group, pada 1980-an.

Bilionair yang tinggal di Brisbane itu, turut memiliki portfolio meluas dalam bidang hartanah di Brisbane dan kawasan sekitarnya, termasuk sebuah pangsapuri bernilai A$70 juta (RM215 juta) dan projek pembangunan hotel di Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) Brisbane, yang dijadualkan siap akhir tahun depan.

Sementara itu, seorang lagi anak Malaysia, pemaju hartanah Queensland, Maha Sinnathamby, 72, semakin hampir menyertai ‘kelab bilionair’ dengan jumlah kekayaan bernilai A$820 juta (RM2.519 bilion).

Greater Springfield kepunyaan beliau, merupakan bandar milik persendirian terbesar yang dibangunkan berdasarkan pelan induk di Australia.

Dua anak Malaysia yang termasuk dalam senarai orang paling kaya BRW tahun ini ialah David Teoh dan isterinya Vicky, kedua-duanya berusia 56 tahun, menambah jumlah kekayaan daripada A$484 juta (RM1.487 bilion) pada tahun lepas kepada A$525 juta (RM1.613 bilion) tahun ini.

Pasangan suami isteri itu merupakan pengasas TPG Telecom, penyedia perkhidmatan Internet di Australia. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI