Kemiskinan jejas kesejahteraan Muslim

Friday, May 25, 2012

Doa yang selalu mengalir daripada lidah kita adalah rabbana atina fi al-dunya hasanah wa fi al-akhirati hasanah wa qina azab al-nar – kita memohon kepada Tuhan agar mengurniakan kita kebaikan di dunia dan akhirat serta memelihara kita daripada seksa api neraka.

Doa itu diajarkan secara langsung oleh Allah SWT kepada umat manusia seperti termaktub dalam ayat 201 Surah al-Baqarah. Doa yang mulia ini diwahyukan Allah bertepatan kedudukannya dalam al-Quran bersama semua umat yang sedang melaksanakan kemuncak rukun Islam kelima di Tanah Suci Makkah.

Pertanyaan yang boleh ditimbulkan adalah adakah pengurniaan kebaikan berkenaan diberikan tanpa usaha? Kebaikan di dunia dalam istilah sederhana adalah hidup sejahtera dengan pengertian seseorang itu, sama ada sebagai diri sendiri, keluarga, masyarakat atau negara, dapat memenuhi keperluan asasi dan memiliki kelebihannya sehingga dia berasa hidup selesa dan makmur.

Mengapa kita mesti hidup sejahtera? Islam tidak menyukai kemiskinan. Dengan adanya kemiskinan, bagaimana ajaran agama Islam yang berkaitan dengan kebaikan di dunia boleh dilaksanakan? Orang Islam digalakkan berzakat, bersedekah dan infak pada jalan Allah. Galakan ini tidak akan wujud kecuali orang Islam mesti berharta.

Walaupun agama Islam tidak menghina kemiskinan, tidak memandang rendah golongan miskin dan tidak menganggap berdosa orang yang hidup miskin, ajarannya tidak merestui kemiskinan. Dengan sebab kemiskinan pembangunan umat akan terbantut kerana kemiskinan membahayakan iman; membahayakan akhlak dan budi pekerti; membahayakan pemikiran; membahayakan institusi keluarga; dan membahayakan kestabilan masyarakat.

Kemiskinan membahayakan iman seperti dijelaskan al-Qaradawi kerana kemiskinan itu hampir membawa kepada kekufuran. (Hadis riwayat Abu Nuaim). Kekufuran terjadi apabila dia meragui keadilan Allah atau tertarik dengan kekayaan yang ditawarkan oleh agama lain. Kemiskinan membahayakan akhlak dan budi pekerti kerana sesungguhnya jika seseorang itu berhutang dia akan cenderung berdusta apabila berbicara dan ingkar apabila berjanji? (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kemiskinan boleh mendorong kepada akhlak yang buruk seperti cenderung untuk berdusta, mencuri, menipu, menerima rasuah dan khianat. Kemiskinan membahayakan pemikiran kerana seperti dikatakan Imam Abu Hanifah: “Janganlah meminta pendapat daripada seseorang yang sedang kehabisan gandum di rumahnya. Seseorang yang miskin dan memikirkan kemiskinannya serta risau untuk memenuhi keperluannya tidak dapat berfikir dengan baik.”

Kemiskinan membahayakan institusi keluarga kerana ia menjadi penghalang terhadap keinginan untuk berumah tangga dan boleh menyebabkan kegagalan berumah tangga. Di samping itu, kemiskinan boleh menyebabkan anak tidak terurus dengan sempurna. Akhirnya, kemiskinan membahayakan kestabilan kerana desakan kemiskinan boleh mendorong seseorang untuk melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, pergaduhan, penipuan dan rusuhan.

Jadi, untuk mengurangkan kemiskinan jika tidak menghapuskannya sama sekali kerana bukan Sunnatullah untuk menjadikan semua orang kaya, umat dituntut untuk mensejahterakan diri masing-masing dengan menghindari sikap tamak atau rakus serta cinta terhadap harta dunia.

Proses kesejahteraan umat tidak terlepas daripada proses pembangunan manusia secara menyeluruh. Konsep pembangunan Islam bersifat komprehensif dan bersepadu yang meliputi aspek kerohanian dan kebendaan. Pembangunan akan ditumpukan pada mengoptimumkan kesejahteraan manusia. Akhlak dan kebendaan, kerohanian dan kebendaan, ekonomi dan sosial tidak terpisah. Kesejahteraan inilah yang akan melewati kesejahteraan sementara (dunia) iaitu kesejahteraan yang abadi di akhirat.

Dengan mengukur keupayaan masing-masing, setiap individu Muslim mesti merancang kehidupannya sedangkan hidupnya mestilah diserahkan sepenuhnya kepada al-Khaliq. Perancangan kehidupan berlainan dengan perancangan hidup kerana kehidupan adalah apa yang dijalani dan dihadapi manusia itu sendiri sedangkan hidup adalah nyawa dan nyawa milik Allah.

Oleh itu, ketika mimpi raja disampaikan kepada Nabi Yusuf di penjara, baginda memberikan perancangan tujuh tahun sesuai dengan keupayaan negara.

Al-Quran menceritakan maksudnya: Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". (Surah Yusuf: 47-49)

Perancangan untuk mensejahterakan negara dan penduduknya dalam kisah Nabi Yusuf sangat jelas. Perancangan Nabi Yusuf membuahkan hasil dan negara menjadi sejahtera dan makmur. Mesir yang bergantung kepada hasil pertanian dirancang sesuai dengan keadaannya dan itulah isyarat al-Quran al-Karim kepada kita untuk merancang kehidupan kita sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Dengan perancangan, seseorang tidak hanya berpeluk tubuh menunggu takdir. Perancangan tidak bererti menolak takdir atau kurang berkeyakinan atau kurang berpuas hati dengan qada dan qadar Allah. Oleh sebab masalah qada dan qadar penuh rahsia, maka manusia lebih perlu kepada usaha dan kerja bagi memastikan kesudahan yang baik bagi dirinya.

Manusia mempunyai ikhtiar dan pilihan daripada pelbagai bentuk perancangan yang ada. Sebagai Muslim, perancangan yang perlu dipilih ialah perancangan yang dapat menjamin kesudahan yang baik di dunia dan akhirat. Perancangan yang silap akan membawa kecelakaan yang berkekalan di akhirat dalam bentuk azab dan sengsara api neraka. Dalam pada itu, perancangan yang mengikut garis panduan Islam dan tidak menyalahi ajaran Islam akan menjadikan seseorang itu berada pada kesudahan yang menyenangkan, penuh dengan kenikmatan dan kedamaian di syurga.

Ciri perancangan yang baik ialah perancangan yang munasabah, iaitu mudah dan dapat dilaksanakan; yang berkembang, iaitu untuk tujuan perubahan, untuk menyelesaikan masalah dan bersifat sejagat; cara membuat keputusan yang wajar; pencapaian matlamat yang unik; perencanaan operasi yang sistematik serta bijaksana dan mempunyai kawalan pelaksanaan yang baik. (Lihat ekonomi Islam Dasar dan Amalan, hal.312-16) Ada beberapa syarat landasan yang perlu diperhatikan dalam perancangan iaitu takwa kepada Allah, merancang hari esok dan bertakwa menjalankan perancangan.

Sebelum, ketika dan sesudah perancangan dijalankan, kita perlu bertakwa terus menerus. Bertawakal kepada Allah sama ada mendapat hasil positif atau negatif daripada usaha dan perancangan yang dilakukan. Kita wajib berpuas hati dengan hasil yang diputuskan Allah. Oleh itu, kita dilarang bersifat angkuh dengan kebolehan perancangan, sebaliknya kita perlu bersifat tawakal terhadap hasil itu. Bertawakal ertinya kita mengimani bahawa Allah yang menentukan segala-galanya. Usaha dan perancangan yang kita lakukan itu hanya bersifat ikhtiar yang tidak dapat mempengaruhi qada dan qadar Allah. Usaha dan perancangan hanyalah sebab, bukan ketentuan. Dalam bertawakal, kita memerlukan usaha terlebih dulu seperti dikisahkan dalam sebuah hadis iaitu Baginda Rasulullah SAW memerintahkan seseorang menambatkan untanya dulu baru bertawakal, bukan melepaskannya tanpa ditambat, kemudian bertawakal. Sayidina Umar pun pernah mengherdik orang yang berdoa saja di dalam masjid untuk mendapatkan rezeki dan menyuruhnya berusaha kerana langit tidak akan menurunkan hujan emas.

Orang yang bertakwa memenuhi program hidupnya dengan mengisi kehendak rohani, aqli dan jasmani. Dan tujuan asal alam sejagat bergerak ke arah yang sama untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kepada seluruh sistem. Kegagalan untuk memahami tujuan ini menyebabkan manusia bertindak mengikut keperluan dan kepentingan nafsu diri. Islam merancang supaya objektif setiap subsistem, termasuk sistem kehidupan manusia berjalan selaras dengan hukum tabii supaya keharmonian dapat dicapai.

Keharmonian ini tidak akan dicapai jika kita sendiri tidak merancang untuk berubah demi kebaikan. Kita tidak boleh hanya menyerahkannya kepada takdir.

Allah berfirman maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Raad: 11)

Allah berfirman maksudnya: “Setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan (dalam pada itu), ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al-Jumaah: 10) Inilah tuntutan al-Quran iaitu merancang kehidupan kita untuk mendapatkan kesejahteraan kerana bukankah bertebaran di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan mencari apa yang dihajati memerlukan perancangan. Bertebaran di muka bumi dan mencari apa yang dihajati bukan bererti melawan takdir tapi ia adalah ibadah dalam melaksanakan ajaran Ilahi. Wallahu alam.

Oleh Abdurrahman Haqqi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI