Festival Filem dan Video Pelajar kesembilan (FFVPM9)

Friday, May 11, 2012

UiTM anjur Festival Filem dan Video Pelajar
Festival Filem dan Video Pelajar kesembilan (FFVPM9) akan berlangsung di kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, mulai 21 hingga 23 Jun ini.

Festival anjuran bersama UiTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu inisiatif bagi menggalakkan perkembangan industri filem dan video tempatan terutama dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

`Anjakan ke Arah Transformasi' menjadi tema festival sebagai galakan penghasilan karya yang lebih kreatif dan dinamik serta melahirkan generasi seni yang bersedia menerima transformasi merangkumi pelbagai aspek termasuk teknologi penerbitan, kepelbagaian budaya, perpaduan dan ekonomi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM, selain mengetengahkan karya pelajar, pameran serta seminar pembikinan filem dan video turut dijadikan pengisian program.

Penyertaan dalam festival itu juga memberi kesempatan kepada pelajar bertukar-tukar fikiran serta mengeratkan silaturrahim selain mengembangkan daya komunikasi serta interaksi untuk meningkatkan kemahiran teknikal bidang perfileman.

Kategori dipertandingkan bersempena dengan festival itu adalah filem/video pendek, filem/video dokumentari, filem/video eksperimental, filem/video animasi, filem/video iklan, filem/video hebahan khidmat awam serta klip video muzik.

Borang penyertaan pertandingan boleh dihantar kepada Urusetia (Jawatankuasa Penyertaan & Penjurian), Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia Ke-9, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Perdana, Blok 6, Jalan Pulau Angsa U10/14, 40150 Shah Alam, Selangor (u:p: Dr Mahadi Jermadi Murat/ Abdul Rahman Ahmad Hanafiah).

Keterangan lanjut, hubungi 03-7962 2410/2414 atau layari laman web http://www.ffvpm9.uitm.edu.my

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI