Abdul Aziz Kecewa Abdul Kadir Sheikh Fadzir Berpihak Kpd Pembangkang

Tuesday, May 08, 2012

Kontroversi yang melanda bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang kemudiannya keluar daripada Umno tidak mematahkan semangat adiknya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir untuk terus bekerja keras melakukan yang terbaik bagi meraih sokongan rakyat untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir

Abdul Aziz, yang merupakan Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, berkata beliau menerima keputusan abangnya, bekas Ketua Umno Bahagian itu, dengan hati yang terbuka atas semangat amalan demokrasi tetapi beliau tetap akan berjuang untuk Umno.

"Saya anggap ini sebagai satu takdir. Bagaimanapun, saya akan terus bekerja dan lakukan yang terbaik berjuang menerusi Umno dan BN demi rakyat kawasan Kulim/ Bandar Baharu selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam Isnin.

Setelah sekian lama mendiamkan diri berkenaan kontroversi melibatkan abangnya itu, Abdul Aziz mengulas tindakan Abdul Kadir, bekas anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu, yang mendakwa BN memberi antara RM200 dan RM1,000 bagi membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum lepas.

Berikutan itu, Abdul Kadir dikritik banyak pihak dan kemudian mengumumkan keluar daripada Umno. Ketika ini Abdul Kadir dilihat cenderung kepada parti pembangkang apabila sering berceramah di pentas parti pembangkang. Abdul Aziz berkata beliau berasa sedikit kecewa dengan tindak-tanduk abangnya itu yang kini memilih berada di pentas pembangkang dan menyertai perhimpunan Bersih 3.0 untuk mengkritik kerajaan.

"Suatu ketika dahulu beliau banyak menasihatkan adik-adiknya yang lain supaya terus bekerja kuat untuk Umno tetapi berikutan berlakunya sedikit masalah, beliau bertindak keluar parti," katanya.

Abdul Aziz berkata beliau percaya tindakan abangnya menyertai pembangkang adalah berpunca daripada kekecewaan selepas merasakan diri dipinggirkan oleh kerajaan. "Apapun saya berharap Allah akan bukakan hati beliau agar satu hari nanti kembali berjuang dalam Umno. Ini kerana parti itulah yang banyak berjasa kepada kami sekeluarga," katanya. -BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI