Forex diharamkan Fatwa Kebangsaan Malaysia

Tuesday, April 10, 2012

Walaupun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam dari mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing (forex) sejak Februari lalu, masih ada yang enggan menerimanya dengan alasan pengharaman hanya dilakukan di negara ini.

Mereka berpendapat, jika benar perniagaan itu haram ia perlu diharamkan di seluruh dunia membabitkan negara lain seperti Indonesia, Arab Saudi dan Mesir, namun statusnya di negara asing masih belum dipastikan.

Hakikatnya, pemain berkenaan sebenarnya bimbang untuk terbabit dalam bidang lain kerana mampu mengaut keuntungan berlipat ganda menerusi forex.

Mendedahkan kejahilan itu, Pengerusi Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia, Norizam Tukiman berkata, dia menerima maklumat ramai pemain forex masih aktif walaupun mereka sedar ia diharamkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Katanya, pemain terbabit aktif memperdagangan forex di Internet dan berpendapat mereka tidak perlu menurut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.

"Apabila ditanya, mereka akan mempersoalkan mengapa forex hanya diharamkan di Malaysia sedangkan banyak negara Islam lain tidak melakukan tindakan sama.

"Saya tidak mahir soal agama dan pada saya, alasan diberikan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan munasabah dan mengikut arahan dikeluarkan.

"Bagaimanapun, sebagai umat Islam saya berpendapat kita perlu mengikut arahan dikeluarkan," katanya.

Februari lalu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengharamkan perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing kerana tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.

Keputusan dibuat selepas kajian Jawatankuasa mendapati perniagaan itu membabitkan spekulasi mata wang selain banyak isu meragukan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI