Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012

Thursday, March 29, 2012

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan di istana baru Jalan Duta.

Bangunan putih yang bercirikan 22 kubah kuning itu akan menyaksikan pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam satu majlis penuh istiadat dan gilang-gemilang pada 11 April ini.

Istiadat pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah diadakan di Istana Negara lama di Jalan Istana yang merupakan Istana yang diubahsuai daripada sebuah banglo milik jutawan dari China, Chan Wing.

Istana Negara baru di Jalan Duta bersandarkan kepada senibina berprestij, Raja berpelembagaan, dan berdiri megah sebagai antara lambang pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia.

PENUH ISTIADAT

Istiadat pertabalan yang hanya dapat disaksikan sekali dalam tempoh lima tahun akan diadakan di Balairong Seri Istana Negara yang bukan sahaja bakal menjadi tumpuan rakyat jelata malah dunia.
Mengulas Balairong Seri, AR Datuk (Dr) Nik Mohamed Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan Senireka Sdn Bhd (KSSB) iaitu syarikat yang merekabentuk pelan Istana Negara berkata, Balairong Seri bersama Dewan Santapan dan Surau yang terletak di Sayap Rasmi mampu menampung seramai 1,000 hadirin.

Selain itu, di luar Balairong Seri dan Dewan Santapan pula terletak bilik Menunggu Diraja di lobi utama dan ruang legar tetamu yang besar akan turut digunakan bagi majlis pertabalan itu.

Turut tidak terkecuali, bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja, bilik Singgahsana.

SENIBINA

Menurut Nik Mohamed, rekaan Istana Negara menyaksikan penggabungan antara konsep tradisional Melayu dan senibina Islam.

Dibina atas tapak berkeluasan 106 hektar (241.3 ekar), keseluruhan pelan bangunan utama Istana Negara menghadap ke arah Kiblat dan dibahagikan mengikut aras dan sayap mengikut fungsi.

"Aras utama dibahagikan kepada Sayap Rasmi dan Sayap Diraja. Aras di bawah terletaknya pula pejabat pentadbiran, dapur, stor dan ruang sokongan lain.

Berbanding istana sebelum ini yang hanya mempunyai dua kubah, istana baru mempunyai 22 kubah dengan kubah utama mencapai ketinggian 60m seiring dengan kedudukan dan darjat Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.

Mengulas rekaan Pintu Gerbang Utama yang terletak pada jalan masuk dari Jalan Duta, ia direka bentuk khusus supaya mengukuhkan lagi simbol keagungan tempat bersemayam Ketua Negara Malaysia.

Ia mempunyai ciri-ciri ukiran flora yang melambangkan bunga kebangsaan, Bunga Raya serta ukiran Islam.

TIGA LALUAN UTAMA

Terdapat tiga laluan utama untuk memasuki Istana Negara Jalan Duta iaitu Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta bagi kegunaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan.

Pintu Gerbang Masuk Utama ini turut menempatkan Pengawal Istana dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja serta pengawal berkuda yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi pintu kedua yang terletak di Jalan Changkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan Tetamu Diraja serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.

Manakala, pintu ketiga yang terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi rakyat yang ingin berurusan dengan Seri Paduka serta Pentadbiran Istana Negara serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.

Sememangnya, tugasan melaksanakan rekaan itu bukanlah satu kerja yang mudah.
Nik Mohamed berkata, bagi melaksanakan perancangan Istana Negara yang baru ini, pihak KSSB enerima banyak panduan dan nasihat daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang pada masa itu adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12.

Biarpun pernah berpengalaman dalam merekabentuk Istana Selangor di Kuala Lumpur, Istana Darul Ehsan di Putrajaya, namun akui Nik Mohamed tugasan kali ini adalah paling mencabar. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI