Kuetiau goreng Doli Taiping kini di KL

Monday, December 19, 2011

Perniagaan kuetiau goreng Doli yang diusahakan pasangan suami isteri, Abdul Rahim Yaacob dan Masira Elamdin sejak 35 tahun lalu asalnya bermula dengan gerai kecil saja di pasar Larut Matang, sebelum berpindah berdekatan dengan Balai Bomba Taiping dan sekarang sebuah restoran di Jalan Tupai, Taiping.

Kuetiau goreng Doli dikenali ramai sehinggakan ada pelanggan dari negeri lain seperti Terengganu sanggup untuk merasai sendiri keunikan kuetiau tersebut yang dimasak menggunakan arang.

Bagi meneruskan legasi, anak lelaki pasangan tersebut, Aidil Suffian Abdul Rahim membuka cawangan Restoran Doli Kuey Teow Goreng di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Mengekalkan teknik masakan terutamanya penggunaan dapur arang menggantikan dapur gas dan bahan-bahan sama, 60 peratus pelanggannya ialah mereka yang pernah merasai air tangan ibu bapa pengusaha muda ini di Taiping.

"Kami mengekalkan penggunaan dapur arang seperti zaman dulu sebab itulah keistimewaan kuetiau Doli di Taiping kerana bara daripada arang itu membuatkan kuali panas sekata.

"Bahan asas seperti kuetiau diambil daripada pembekal sama di Taiping kerana ia lembut berbanding yang dijual di Kuala Lumpur.

Kuetiau goreng Doli Taiping



"Udang dan kerang juga kami dapatkan dari Kuala Sepetang, sama seperti restoran di Taiping kerana susah mendapatkan udang laut di sini. Kebanyakannya udang yang dibela.

"Udang laut lebih segar dan kenyal berbanding udang dibela," terang Aidil Suffian yang mengusahakan restoran berdekatan bangunan Vads itu bersama-sama isterinya.

Selain kuetiau, restorannya turut menyajikan hidangan lain seperti nasi ayam, mi rebus dan goreng, bihun sup dan nasi dalca, sama seperti menu di Taiping.

Menurut Aidil Suffian, keunikan nasi ayamnya, pada ayam yang digaul rempah khas resipi ibunya malah nasinya juga dimasukkan sedikit susu supaya lebih berlemak.

Restoran Doli Kuey Teow Goreng dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 12 tengah hari.

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM (Utusan)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI