Baddrol Bakhtiar dapat tawaran Pelita Jaya

Tuesday, December 06, 2011

Tonggak utama pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) akan mempertimbangkan hasratnya untuk menyertai kelab Liga Super Indonesia, Pelita Jaya.

Beliau berkata, tawaran seperti itu sememangnya dinanti-nantikannya kerana mahu menimba pengalaman baru selain mahu meningkatkan mutu permainan.

“Saya telah mengadakan perbincangan lanjut dengan KFA mengenai perkara ini kerana tawaran yang diterima dari kelab tersebut hanya dalam bentuk lisan.

"Namun segala keputusan akan dibuat sekurang-kurangnya sehari dua lagi dan saya menyerahkan perkara ini kepada pihak pengurusan (KFA) untuk mempertimbangkan peluang ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan mesra antara pemain skuad Sukan SEA dengan para peminat, anjuran Nike Malaysia di sini hari ini.

Anak kelahiran Sungai Petani ini yang masih mempunyai kontrak setahun lagi bersama skuad Kenari sehingga hujung tahun depan, berkata, beliau ingin mengikut jejak langkah Safee Sali yang turut bermain dalam kelab yang sama yang berpangkalan di Jawa Barat.

"Ia memang merupakan tawaran yang terbaik bagi saya untuk mengembangkan pengalaman dan saya telah mendapat nasihat daripada Safee. Banyak kata-kata positif yang dia berikan kepada saya untuk beraksi bersama pasukan luar negara,” katanya. – Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI