Seksualiti Merdeka : Umat Islam jangan terlibat

Friday, November 04, 2011

Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) menasihatkan umat Islam mengelak daripada menyertai program Seksualiti Merdeka 2011 yang mempromosikan seks bebas kerana menyifatkannya sebagai haram di sisi agama.

Pengerusinya, Dr. Aznan Hasan berkata, Islam adalah agama fitrah yang memberi keadilan dan kebebasan kepada semua pihak tanpa mengira jantina namun kebebasan itu mestilah bersendikan neraca dan prinsip agama yang tidak berasaskan logik akal semata-mata, sebaliknya haruslah dipandu oleh wahyu.

Katanya, sesuatu kebebasan itu bukanlah bersifat mutlak tetapi mestilah berteraskan keadilan sejagat yang bermatlamatkan memberi maslahah kepada manusia dan menolak sebarang kerosakan kepada kehidupan mereka.

''Penafsiran kesaksamaan gender haruslah dirujuk berasaskan nilai agama dan budaya ketimuran yang amat menekankan adab sopan dan tata susila. Budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan budaya songsang yang masuk ke negara kita dan menyalahi norma kehidupan masyarakat dan agama.

''Justeru, kerajaan selaku ejen penguat kuasa hendaklah menghalang sebarang aktiviti seperti itu dan pada masa sama peka terhadap aktiviti songsang dalam masyarakat," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya menuntut kepimpinan Majlis Peguam meletakkan jawatan kerana gagal mendaulatkan undang-undang dan sebaliknya mempromosi gaya hidup tidak bermoral yang bercanggah dengan Perlembagaan.

Katanya, Pembela memandang serius usaha kumpulan itu yang mahu mengetengahkan hak LGBT sebagai hak asasi manusia di negara ini yang pasti mewujudkan kontroversi ekoran budaya dan gaya hidup Barat dalam isu LGBT ditolak di Malaysia.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid menolak dengan tegas alasan Majlis Peguam supaya hak LGBT diketengahkan atas nama demokrasi.

Tegas beliau, Malaysia berhak untuk meletakkan nilai dan asas undang-undangnya mengikut peruntukan Perlembagaan dan ia tidak boleh dilihat sebagai satu penderaan dan ketidakadilan hanya kerana ia tidak selaras dengan budaya hidup Barat.

''Kami tidak melihat undang-undang Islam yang wujud di negara ini mengenai perlakuan seks sebagai zalim kerana mereka yang melakukan perlanggaran terhadap undang-undang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, program Seksualiti Merdeka jelas tidak bertamadun dan tersasar daripada norma setiap manusia dengan meletakkan manusia lebih hina daripada haiwan.

Tambahnya, tiada kebebasan mutlak dalam mana-mana negara di dunia.

''Bahkan, penganjur program itu dengan jelas menyalahi undang- undang negara melarang hubungan luar tabie,'' katanya.

--------------

Disifatkan syirik, murtad

Umat Islam yang menyokong termasuk terlibat dalam menganjurkan program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan seks bebas, disifatkan sebagai syirik kepada Allah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam telah mengharamkan hubungan sejenis, sehubungan itu mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang telah diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad.

Justeru, jelas beliau, kerajaan harus bertindak lebih tegas termasuk mengenakan tindakan ke atas pihak penganjur sekiranya mereka masih mahu meneruskan program yang mempromosikan amalan lesbian, homoseksual dan transeksual itu.

"Program ini secara jelas adalah bertentangan agama Islam termasuk agama lain. Kalau sekiranya ada orang Islam yang menyokong, maka hukumnya syirik dan boleh dikira murtad kerana Islam telah mengharamkan hubungan sejenis," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harussani berkata, golongan belia dibimbangi mengalami keruntuhan akhlak yang lebih teruk sekiranya program seumpama itu dibenarkan untuk dianjurkan di negara ini.

"Golongan belia di negara ini kebanyakannya sudah rosak akhlaknya, jadi kita tidak mahu moral mereka lebih teruk jika adanya program seumpama itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin menegaskan, penganjur program itu perlu mencari kaedah terbaik untuk membantu golongan lesbian, biseksual, gay atau transgender (LBGT) untuk kembali ke pangkal jalan dan bukannya membuka ruang kepada mereka untuk meneruskan gaya hidup tidak sihat.

Justeru, jelasnya, semua agensi berkaitan perlu memperkenalkan program khas kepada golongan tersebut tanpa memberi keistimewaan khas kepada mereka.

"Jakim telah mengeluarkan buku Manual Islam dan HIV AIDS dua tahun lalu untuk memberi bimbingan bersepadu kepada golongan ini tanpa pertindihan antara agensi dan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani gaya hidup sihat selari kehendak syarak.

"Namun agak malang apabila perkara ini tidak diberi perhatian sepatutnya oleh penganjur malah agensi agama dan perundangan negara ini diperlekehkan atas alasan tidak selaras dengan hak asasi manusia," katanya.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara Islam, Malaysia perlu merujuk kepada Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam yang menyebut bahawa setiap maklumat tidak boleh disalahguna sehingga boleh melemahkan secara diam nilai moral dan etika atau menghancurkan masyarakat serta melemahkan imannya.

"Keseriusan Jakim dalam hal ini turut dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 2008 yang telah memutuskan bahawa wanita yang berpenampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi Islam," ujarnya.

~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI