Wanita ambil hormon perancang hamil berisiko kena virus HIV

Wednesday, October 05, 2011

Wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan mempunyai risiko dua kali ganda untuk dijangkiti virus HIV atau menjangkiti pasangan masing-masing, dedah satu kajian.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet Infectious Diseases, hari ini dijalankan terhadap 3,790 pasangan heteroseksual di Afrika di mana setiap seorang daripada pasangan tersebut dijangkiti HIV.

Kajian tersebut dilihat boleh memberi sumbangan terbesar ke atas dasar-dasar penggunaan hormon perancang kehamilan dan pencegahan HIV sekiranya ia disahkan.

Selain itu, kajian tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bagaimana melakukan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom.

Dalam kajian tersebut, wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan akan menjangkiti pasangannya dengan virus HIV dengan purata tujuh bagi setiap 100 orang dalam setahun berbanding seramai empat orang bagi yang tidak mengambilnya.

Kadar jangkitan daripada wanita yang mengambil hormon perancang kepada lelaki pula mencatatkan purata seramai tiga bagi setiap 100 orang setahun, manakala hanya melibatkan dua orang jika tidak mengambilnya.

Kebanyakan wanita mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan dan hanya sebilangan kecil mengambilnya menerusi pil.

Selain itu, kumpulan pengkaji mendapati wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan lebih berisiko untuk meningkatkan virus HIV di dalam rahim berbanding pengambilan pil.

Kajian tersebut dijalankan antara 2004 dan 2010 di Botswana, Kenya, Rwanda, Afrika Selatan, Tanzania, Uganda dan Zambia. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI