Bajet 2012: Mampu modenkan pasukan keselamatan negara

Saturday, October 08, 2011

Pengurusan, pembangunan dan kelengkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lebih sistematik dan moden dijangka dapat diterjemahkan lagi pada tahun hadapan melalui peruntukan Bajet 2012.

Peruntukan sebanyak RM642 juta, iaitu RM442 juta untuk perbelanjaan perbangunan PDRM dan RM200 juta untuk pembentukan pasukan polis yang lebih moden selain dilengkapi aset dan teknologi canggih sangat dialu-alukan badan keselamatan negara itu.

Dalam belanjawan tersebut juga, kerajaan turut memberi sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-off kepada bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang berkhidmat ketika darurat serta duda dan balu mereka seramai 62,000 orang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi penambahbaikan perkhidmatan PDRM kepada masyarakat dalam tujuan pencegahan dan memerangi jenayah.

"Syukur dengan peruntukan khas ini. Kita akan gunakan sebaik mungkin bagi memodenkan pasukan PDRM," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, peruntukan yang memberi fokus kepada kebajikan warga polis itu tentunya akan menyumbang kepada peningkatan motivasi dan prestasi warga PDRM.

"Ini merupakan pengumuman besar yang sungguh bermakna kepada seluruh warga PDRM, sama ada yang sedang berkhidmat atau yang telah bersara.

"Peruntukan khas RM200 juta untuk menaik taraf kemudahan dan kelengkapan untuk penugasan yang lebih efisien, efektif dan selaras dengan peredaran masa, terutamanya dalam bidang penyiasatan dan forensik," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata manakala peruntukan RM442 juta akan digunakan untuk projek-projek pembangunan serta menaik taraf perumahan polis, ibu-ibu pejabat polis daerah dan balai-balai polis serta pusat-pusat latihan polis.

"Sumbangan 'one-off' sebanyak RM3,000 pula adalah sangat bertepatan kerana jasa dan pengorbanan semua mereka menentukan kesejahteraan negara telah diberi penghormatan sewajarnya," katanya.

Seorang bekas 'Iban Tracker' di Sarawak Ranger, Datuk Temenggung Kanang Anak Langkau, 67, berkata insentif ini menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap tugas bekas anggota polis semasa zaman darurat.

Beliau berkata, ini juga dilihat sebagai membalas jasa mereka yang pernah berjuang dan mempertaruhkan nyawa semasa zaman darurat selain membantu mereka yang kini sudah uzur.

"Ini juga boleh mengurangkan beban balu-balu tentera serta ahli keluarga mereka atau mereka (anggota polis) yang telah uzur dan mengalami kecederaan kekal kerana berlawan dengan komunis," katanya. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI