Tragedi Bukit Kepung: NGO buat laporan ke atas Mat Sabu

Tuesday, September 06, 2011

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong.

Tiga NGO yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada 3 petang tadi ialah Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu Negeri Melaka, Jawatankuasa Khas Belia Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Majlis Belia Malaysia dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Daerah Jasin.

Presiden Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu Negeri Melaka, Shahrul Azuwar Abdul Aziz berkata, kenyataan Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong amat melampau kerana beliau cuba memesongkan fakta sejarah negara dengan mengagungkan komunis yang merupakan musuh negara.

"Sebagai generasi muda, kami merasakan apa yang dikatakan oleh Mat Sabu adalah melampau dan biadap. Ia mencetuskan rasa tidak senang di kalangan masyarakat, jadi kita minta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.

Wakil Persatuan Peniaga dan Penjaja Daerah Jasin, Johari Nordin berkata, peniaga dan penjaja di daerah ini tidak boleh menerima kenyataan Mat Sabu itu yang memutarbelitkan fakta sejarah.

"Oleh itu saya meminta polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas Mat Sabu,” katanya. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI