Euro-Islam diamal Muslim Bosnia

Friday, September 02, 2011

Di Bosnia, di mana rakyatnya berbangga dengan gelaran 'Islam Eropah', keghairahan mengerjakan ibadah dan kehidupan bebas dapat disaksikan dengan meluas, walaupun ketika bulan suci Ramadan.

Ketika kebanyakan penduduk Sarajevo mengerjakan ibadah puasa dengan tekun, kafe-kafe di jalan-jalan ibu negara Bosnia itu dipenuhi oleh pelancong asing dan penduduk tempatan.

Wanita muda yang memakai purdah serta yang mendedahkan rambut bersilih ganti bersiar-siar di ibu negara Bosnia, manakala meminum arak adalah bebas untuk semua.

"Rakyat Islam Bosnia hidup mengikut konteks, politik dan undang-undang Eropah selama lebih seabad.

"Sejak menjadi sebahagian daripada empayar Austro-Hungarian pada lewat abad ke-19, Bosnia telah berubah menjadi negara baru," kata seorang profesor etnik dan falsafah di Fakulti Pengajian Islam Serajevo, Dzevad Hodzic.

Menurutnya, ekoran kemunculan kumpulan radikal ketika perang Balkan 1990-an, Islam Bosnia lebih menggangap agama sebagai urusan peribadi, mula dikenali sebagai 'Islam Eropah' atau 'Euro-Islam'.

Prospektif yang timbul ketika tahun 1990-an itu masih menjadi subjek perdebatan, terutamanya merujuk kepada tuntutan agama yang disesuaikan dengan nilai Eropah, termasuk hak kemanusiaan, peraturan dan kesamarataan jantina.

Sesetengah pihak menyifatkannya sebagai Islam 'buatan Eropah" yang meliputi perpecahan gereja dan negara, tidak seperti Afrika Utara, Asia Barat atau negara majoriti Muslim yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

Menurut Dzevad, kepercayaan rakyat Bosnia dibentuk melalui 'pandangan kepada dunia luar' selagi ia tidak bertentangan dengan agama, tetapi menganggap agama sebagai sebahagian daripada moral, hal peribadi, rohaniah dan domain keluarga serta negara yang diasingkan daripada kepercayaan. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI