2 ikon wanita Malaysia

Friday, September 30, 2011

MAJLIS Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita (APMUW) dan Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita (APMPSW) 2011 yang julung kali diadakan pada 25 September lalu berjaya menemui ikon di kalangan wanita terhebat di negara ini.

Mereka yang dimasyhurkan itu bakal menjadi sumber inspirasi kepada golongan hawa untuk terus melakar pencapaian gemilang, sekali gus membantu bersama-sama membangunkan negara.

Pada majlis anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu, usahawan perkakasan, Hooi Lai Lin dipilih menerima APMUW 2011 manakala APMPSW 2011 dimenangi Presiden Rumah Amal Cheshire Selangor, Datin Paduka Khatijah Sulaiman @ Sulieman.

Kedua-dua mereka menerima hadiah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berupa wang tunai RM100,000, trofi kristal dan seutas jam tangan mewah.

Pemenang APMUW 2011 juga menerima tajaan penyertaan dalam Program Pembangunan Pengeksport Wanita manakala pemenang APMPSW 2011 mendapat penajaan daripada Bantuan Khas Perbendaharaan selama dua tahun bagi menjalankan program atau aktiviti sosial.

Tidak ketinggalan, setiap finalis turut menerima wang tunai sebanyak RM20,000 sumbangan Rakan Perkongsian Pintar Kementerian terdiri Sime Darby, Mouawad, Media Prima, Christofle, Langkawi Crystal, Maybank, Maxis, Celcom, TM, Air Asia, Ambank Group, MIDF Group, Prima Group dan Hong Leong Bank Berhad.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam.

Pemenang APMUW 2011, Hooi memulakan operasi perniagaannya dengan menyewa kilang seluas 0.01 hektar, kini memiliki sebuah bangunan yang dibina atas tapak berkeluasan 0.48 hektar.

Nilai pusingan jualannya meningkat daripada RM2 juta pada 1966 kepada RM47 juta pada akhir Jun 2011 dan berjaya memenangi kontrak daripada konglomerat serta penjual runcit besar melalui persaingan dengan pengilang perkakasan asal multinasional utama.

Syarikatnya turut memenangi kontrak daripada konglomerat Jepun di mana produk keluarannya dijual di 12 negara serta sering mendapat pujian pelanggan atas kawalan standard yang tinggi.

Hooi berkata, kemenangan itu agak mengejutkannya kerana terdapat ramai lagi wanita hebat namun beliau percaya semua wanita di Malaysia mampu meraih kejayaan sekiranya mengamalkan kerja keras, mempunyai minat mendalam dan melakukan sesuatu kerja dengan sebaik mungkin.

Katanya, beliau akan meneruskan perniagaannya serta membantu wanita lain untuk turut berjaya.

"Saya mempunyai minat mendalam dalam apa yang saya lakukan, percaya pada kejujuran dan saya percaya kita perlu mempunyai rasa cinta yang dalam terhadap apa yang kita bangunkan selain memastikan apa saja yang kita buat memberi impak positif kepada masyarakat," katanya sejurus majlis.

Sementara itu, pemenang APMPSW 2011, Khatijah mengambil keputusan untuk mengorbankan cita-cita peribadinya tiga puluh tahun lalu dengan bekerja secara sukarela sepenuh masa untuk berbakti kepada masyarakat yang sering diabaikan seperti golongan kelainan upaya secara fizikal dan mental.

Beliau berkata, anugerah yang diterimanya itu adalah satu kurniaan tidak ternilai harganya dan amat bermakna bagi dirinya apalagi pengiktirafan itu tidak diduga memandangkan semua finalis lain mempunyai potensi memenangi anugerah itu.

"Saya memilih kehidupan berbakti dan bekerja secara sukarela sepenuh masa untuk masyarakat yang sering diabaikan.

"Bagaimanapun, komitmen dan bakti yang diberikan dalam dunia kebajikan kepada masyarakat amat bermakna sepanjang pembabitan saya dalam mengasaskan yayasan ini," katanya.

Selain kedua-dua pemenang, finalis bagi APMUW 2011 adalah Naib Presiden Kumpulan Syarikat Infovalley Companies, Anu Sheela Themudu; Pengarah Eksekutif Elyza's Home (M) Sdn Bhd, Elyza Yong Kwai Fong; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Dr Maznah Abd Hamid; usahawan, Noraini Soltan dan pengasas bersama francais pendidikan prasekolah Smart Reader Worldwide, Dr Wang Kim Ha.

Manakala finalis APMPSW 2011 terdiri Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman; Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong; Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin dan Presiden Tech Outreach, Dr Selvamalar Ayadurai.

Anugerah diilhamkan Perdana Menteri yang dilancarkan pada 29 Julai lalu itu mendapat sambutan menggalakkan dengan 119 pencalonan terdiri 55 calon bagi APMUW dan 64 lagi bagi APMPSW.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI