Intan Nurladyana kembali berlakon filem seram, Flat 3A

Tuesday, July 12, 2011

Intan Nurladyana kembali dengan filem genre seram iaitu Flat 3A arahan Azhari Zain.

Pemilik nama sebenar, Intan Nurladyana mengakui semakin menghampiri tarikh tayangan filem itu pada Khamis ini, semakin kuat debaran dirasakan. Dia memegang watak Fiqah, gadis kampung yang berhijrah ke bandar dan bekerja di kilang demi sesuap nasi.

Di Kuala Lumpur, Fiqah mempunyai teman lelaki dan mereka terlanjur tetapi tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya menyuruh Fiqah menggugurkan kandungannya.

Kata Intan, wataknya sebagai Fiqah paling mencabar sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan apabila terpaksa bermain dengan emosi yang berbeza kerana Fiqah terjerumus dalam lembah yang tidak bermoral sehingga diganggu hantu.


“Saya akui watak Fiqah lebih mencabar daripada watak yang saya pegang dalam filem Jangan Pandang Belakang kerana dalam filem Flat 3A, Fiqah melakukan perkara tidak bermoral dan salah di sisi agama iaitu terlanjur dengan teman lelakinya. Saya terpaksa menjiwai watak Fiqah yang terjerumus dalam lembah tidak bermoral dan cuba menyelami hatinya.

“Bukan senang untuk kita memahami perasaan seorang wanita yang terlanjur dengan teman lelakinya dan sanggup pula menurut permintaan menggugurkan kandungan hanya kerana sayangkan dia.

“Terdapat pelbagai emosi yang saya perlu tonjolkan ketika melakonkan watak Fiqah. Saya bermain dengan emosi sayang pada teman lelaki, perasaan takut diganggu makhluk halus, perasaan bersalah kerana menggugurkan kandungan dan tertekan kerana dosa yang dilakukan.

“Kadangkala ketika penggambaran, saya rasa susah untuk menunjukkan ekspresi pada wajah kerana mood untuk menjiwainya hilang. Bukan kerana hilang fokus tetapi mungkin disebabkan watak Fiqah yang agak rumit,” katanya.

Bagi yang merindui penampilannya sebagai Nadia bersama Sam dalam Adnan Sempit, Intan baru saja selesai menjalani penggambaran untuk sekuel filem itu. Intan juga sekali lagi digandingkan dengan Sam dalam filem komedi Bini-Biniku Gangster arahan Ismail Bob Hasim.

Kalau debaran Intan begitu kuat menjelang tayangannya, apatah lagi buat pasangannya dalam filem itu, Adey Syafrien, 23, kerana belum sampai setahun menceburi dunia lakonan sudah diberi kepercayaan memegang watak utama dan digandingkan pula dengan pelakon popular seperti Intan.

Ketika mereka berdua digandingkan untuk fotografi ini, Intan yang menggayakan busana tajaan Old Blossom Box, mengakui tidak menghadapi masalah digandingkan dengan jejaka bertubuh sasa berasal dari Sabah. Bagi Intan, Adey seorang pelakon yang profesional dan boleh pergi jauh dalam industri seni.

Keserasian mereka berdua mula dipupuk ketika menjalani latihan selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran. Malah Intan bersyukur kerana tidak mengalami ‘gangguan’ yang teruk ketika penggambaran Flat 3A.

Adey yang juga adik ipar pelakon Eizlan Yusof, adalah Top 5 pencarian CLEO 50 Most Eligible Bachelors 2010. Katanya, peluang membintangi Flat 3A umpama mimpi jadi nyata.

“Saya umpama bayi yang baru belajar untuk merangkak, ternyata menerima cabaran besar apabila bersetuju memikul tanggungjawab memegang watak utama dalam filem ini.

“Memegang watak Anas, teman lelaki Fiqah (Intan), watak ini bagi saya memang berat kerana perwatakan Anas jauh berbeza dengan sikap sebenar saya.

“Perwatakan saya yang sebenar ialah seorang periang, banyak bercakap dan suka menyakat tetapi Anas adalah seorang yang panas baran, jarang senyum dan kalau pun senyum kerana menutup pergolakan yang terjadi dalam dirinya.

“Anas seorang yang suka memberontak dan merasakan tidak ada seorang pun yang menyayangi. Walaupun dia dari keluarga berada, Anas tidak pernah merasai kasih sayang ayahnya. Walaupun panas baran, dia sangat menyayangi Fiqah dan sanggup berkorban apa saja untuknya,” katanya.

Kata Adey, sebagai orang baru, sangat berdebar menantikan tayangan filem itu. Akui Adey, lakonannya masih kekok tetapi sudah mencuba yang terbaik dan berharap diterima penonton.

“Sebelum melakonkan watak ini, saya terlebih dulu membuat kajian mengenai sikap seseorang yang panas baran. Saya turut melihat bagaimana melakonkan watak panas baran ini di YouTube,” katanya.

Filem Flat 3A yang mula ditayangkan kepada umum Khamis ini, mengisahkan Fiqah yang yang bekerja di sebuah kilang, terlanjur dengan teman lelakinya, Anas lalu mengandung anak luar nikah.

Pada mulanya, Fiqah membantah permintaan Anas untuk menggugurkan kandungan itu tetapi akhirnya akur kerana Anas memukul dan memberikan ubat untuk menggugurkan kandungan itu.

Konflik bermula apabila Fiqah mengikut kawan baiknya, Ratna berpindah ke Flat 3A. Mereka tidak mengetahui rumah itu adalah tempat tinggal seorang dukun, Kang Suman yang dipercayai membunuh kanak-kanak kecil bernama Fatin. Bermulalah kejadian dia diganggu roh kanak-kanak kecil.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI