Fazura selesa bertudung dalam Tahajjud Cinta

Tuesday, July 12, 2011

Pelakon cantik manis, Fazura, berhasrat untuk mengekalkan imej bertudung setelah membintangi drama Tahajjud Cinta dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, perasaan itu timbul setelah melakonkan watak Citra dalam drama arahan Erma Fatima itu.


Ternyata karakter Citra yang memerlukannya bertudung litup, memberi impak positif dalam dirinya.

“Apabila memakai jubah dan purdah semasa di Jordan untuk beberapa babak dalam Tahajjud Cinta, saya berasa sangat selesa walaupun pada hakikatnya cuaca di sana tidak seperti di Malaysia.

“Pada mulanya agak janggal juga mengenakan pakaian Muslimah itu, namun semua itu dapat diatasi dengan bantuan pengarah dan rakan lain dan tiada sebarang masalah sepanjang tempoh penggambaran.


“Mungkin itu hikmahnya, untuk saya bertudung selepas ini walaupun hanya ringkas saja. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui dalam sesi ramah mesra di Sri Pentas, baru-baru ini.

Mengulas tentang cabarannya membintangi drama itu, Fazura berkata, dia perlu bertutur dalam bahasa Arab demi memenuhi karakter.

“Memang sukar, tapi dengan bantuan Kak Erma (Erma Fatima) saya berjaya memberikan yang terbaik untuk pengarah dan penonton.

“Mungkin saya berjaya lakukannya lebih cepat sebab Kak Erma agak tegas memberi tunjuk ajar kepada saya mahupun pelakon lain,” katanya yang lega dengan respons positif yang diterima daripada promosi awal drama siri tersebut.

Tahajjud Cinta yang turut dibintangi artis popular seperti Aaron Aziz, Remy Ishak, Fouziah Gous dan Tiz Zaqyah, baru sahaja bersiaran di slot Zehra, bermula 8 Julai lalu.

Siri 13 episod ini mengisahkan tentang kehidupan berpoligami, selain memberikan pendedahan tentang hak seseorang wanita yang dimadukan.

~ Sinar Harian

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI