4 warna Jalur Gemilang ramuan kejayaan negara

Wednesday, July 27, 2011

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang dengan berkata, empat warna yang terdapat pada bendera kebangsaan itu merupakan ramuan untuk melonjakkan negara ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, jalur-jalur yang terbentang pada bendera itu seolah-olah kiasan kepada pelan transformasi yang diperjuangkan oleh kerajaan.

"Empat warna (merah, biru, kuning dan putih) menandakan empat prinsip yang merupakan tonggak kepada negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang di Stesen KL Sentral di sini hari ini.

Ketika menggariskan empat prinsip itu, Najib berkata, prinsip pertama ialah ketika dalam apa jua keadaan rakyat mesti menyanjung perpaduan nasional kerana ia merupakan tonggak kepada negara, dan prinsip kedua pula untuk menjayakan negara, rakyat mesti mempunyai nilai untuk sama-sama berjuang dan berkorban untuk kepentingan negara.

Bagi prinsip ketiga pula, beliau berkata untuk mencapai apa sahaja pun, rakyat perlu menghargai nilai keharmonian dan keamanan dalam negara, manakala prinsip keempat, untuk mencapai wawasan negara, rakyat Malaysia mesti menunjukkan akal budi serta keluhuran jati diri yang merupakan satu daripada kekuatan untuk negara. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI