Tipu daya amalan sihir

Wednesday, June 15, 2011

Tak semua penyakit mampu disembuhkan oleh doktor-doktor dalam perubatan alopati (perubatan moden).

Ada pesakit yang zahirnya menderita, tetapi hasil pemeriksaan mengatakan dia sihat.

Disebabkan senario itu, munculnya perubatan alternatif yang mengkaji punca penyakit tersebut dari sudut spiritual yang bersangkut paut dengan alam ghaib.

Namun, kaedah perubatan alternatif ini tidak terlepas daripada kecaman.

Ini kerana wujudnya pengamal yang 'memandai-mandai' dan tidak kurang yang mengambil kesempatan menipu dan menganiaya mangsa.

Menurut pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr. Jahid Sidek, ramai pengamal-pengamal perubatan alternatif mendakwa kaedah yang mereka amalkan bertepatan dengan syariat Islam.

Tetapi jika diteliti, terdapat banyak penyimpangan dari asas perubatan Islam yang sebenar. Kesannya, ia bukan sahaja menambah penyakit, malah akan merosakkan akidah dan tauhid seseorang pesakit.

"Sebagai contoh, perawat yang mempamerkan kebolehan luar biasa yang tidak mampu dilakukan oleh orang biasa seperti boleh menangkap dan menyembelih jin, membaca hati, menilik siapa yang mengenakan sihir, mengeluarkan barang-barang sihir daripada tubuh, bedah batin, kebal dan seumpamanya.

"Kemungkinan besar apa yang berlaku sebenarnya adalah dengan bantuan iblis, syaitan dan jin.

"Banyak perkara luar biasa yang berlaku tetapi hanya tiga jenis sahaja yang Allah reda iaitu mukjizat, karamah dan maunah. Manakala yang lain itu lebih kepada istidraj dalam bentuk sihir," ulasnya ketika ditemui di premisnya, baru-baru ini.

Tambah beliau, mukjizat ialah perkara luar biasa yang berlaku hanya kepada para Nabi dan Rasul serta ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kerasulan mereka.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW sebagai Nabi dan Rasul terakhir, maka tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa mereka dilantik sebagai Rasul dan dikurniakan mukjizat.

Terangnya lagi, karamah pula ialah suatu perkara luar biasa yang berlaku kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya (wali Allah) dan karamah yang benar tidak boleh direncanakan waktu dan bentuk.

Ia tidak boleh sesekali ditunjukkan kepada orang ramai dan sebagai contoh, pada zaman Saidina Umar, beliau telah dikurniakan karamah berupa kasyaf sehingga dapat melihat tentera Islam yang berada beratus-ratus kilometer dari Madinah.

Malangnya, pada malam beliau dibunuh, Abu Lu'lu' Al Aswad hanya berada dibelakangnya, bukannya beratus-ratus kilometer, tetapi beliau tidak dapat melihatnya.

Ini menunjukkan karamah berlaku sekali-sekala dan tidak boleh diulang-ulang.

Jika seseorang yang melakukan perkara luar biasa secara berulang-ulang dan dipertontonkan kepada khalayak ramai, maka itu bukanlah karamah tetapi sihir.

Sementara itu, ujar Dr. Jahid lagi, mau'nah pula ialah suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu.

Ia betul-betul terjadi pada waktu itu dan biasanya tidak akan berulang lagi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI