Serangan penggodam siber dijangka berterusan beberapa hari lagi: Cybersecurity

Thursday, June 16, 2011

Serangan terhadap beberapa laman web berkaitan kerajaan dijangka berterusan beberapa hari lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.


Beliau berkata, penyerang siber mensasarkan aplikasi web yang diketahui ramai terdedah kepada kaedah serangan, mempunyai kata laluan lemah dan menyalahtatarajah.

"Cybersecurity, melalui Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), mendapati wujud peningkatan ketara dalam kegiatan berkaitan keselamatan siber dalam tempoh 24 jam lalu.

"Berdasarkan pemerhatian kami, serangan yang dilakukan akan menjejaskan kerahsiaan, integriti maklumat dan kewujudan laman web. Ini seterusnya boleh menjejaskan kegiatan perniagaan sesebuah organisasi," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, Cybersecurity menasihati semua pemilik sistem supaya sentiasa bersiap siaga dan mengambil langkah perlu untuk melindungi laman web masing-masing.

Serangan dikenali sebagai "Operation Malaysia" dilakukan satu kumpulan antarabangsa bergelar "Anonymous" sejat lewat kelmarin menjejaskan 51 laman web termasuk http://malaysia.gov.my dan http://sabahtourism.com.

Serangan siber juga dipercayai dilakukan kumpulan lain berikutan pengesanan modus operandi berbeza oleh satu kumpulan tempatan, "Dragon Force", yang lebih gemar melumpuhkan laman sesuatu web dan menghiasi laman itu dengan imejnya.

Pengurus Operasi BubTech Sdn Bhd, Mazniezan Iqram Mat Zain, berkata kumpulan "Anonymous" cuba mempamerkan kemarahannya terhadap tindakan Kerajaan Malaysia menyekat laman web perkongsian fail kerana ia melanggar Akta Hakcipta 1987.

"Kumpulan ini patut sedar bahawa kerajaan hanya menyekat akses ke laman web berkenaan, tetapi ia masih boleh dicapai melalui sumber terbuka penyedia proksi seperti OpenDNS. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI