Malam kemuncak Akademi Fantasia 9

Sunday, June 12, 2011

Debaran dan penantian tiga bulan untuk bergelar juara Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), sekali gus membawa pulang wang tunai RM200,000 dan hadiah iringan lain, bakal dijawab malam ini.

Berlintas langsung dari Dataran Putrajaya, peminat dan penonton pasti teruja menyaksikan persembahan terbaik daripada empat finalis AF9 — Hazama Ahmad Azmi (Hazama), Mohamad Azri Abdullah (Azri), Lenaber Hadir (Lena) dan Nur Shafinaz Jebat (Fina).


Segala resah kini ligat bermain di fikiran empat finalis ini, namun itu yang mendorong mereka melakukan yang terbaik di pentas akhir.

Biarpun kemasukan Hazama dan Fina ke pentas AF9 pada minggu ketiga mendapat kritikan segelintir peminat, namun daripada mutu persembahan ditonjolkan setiap minggu, mereka berjaya membuktikan kemasukan mereka bukan main-main.

Benar kata orang; rezeki, ajal dan maut di tangan tuhan dan peluang diberi kepada Hazama dan Fina membuka ruang kepada mereka memperbaiki kesilapan lalu.

“Saya mahu sudahkan apa yang dimulakan dulu. Walaupun saya mempunyai platform, di luar masyarakat masih tidak pandang bakat saya. Saya tidak nafikan orang tahu saya boleh menyanyi tapi mereka tidak kenal saya.

“Melalui AF9, saya yakin orang luar akan lebih tahu siapa Hazama sebenarnya. Saya tetap bersyukur kerana aktiviti nyanyian sebelum terpilih ke AF9 banyak memberi pendedahan terbaik,” katanya penuh yakin kerana berjaya berdiri atas nama sendiri.

Malah, Hazama percaya dia sudah matang dan usaha merealisasikan impian sejak lima tahun lalu pasti terlaksana pada malam kemuncak ini.

Jika berjaya menggenggam trofi AF9 malam ini, dia mahu membuktikan AF bukan sekadar pengeluar artis ‘mi segera’.

Tatkala diberi imuniti, pada awalnya Fina bangga, apatah lagi dia peserta termuda menerima peluang itu. Namun di celah kegembiraan Fina akui tertekan, seolah-olah dipulaukan.

“Saya rasa tidak seronok kerana tidak dapat sertai kelas vokal dan menyanyi lagu bonus seperti yang lain. Sepatutnya apabila diberi imuniti peminat mesti nak melihat kelebihan saya, tapi sebaliknya saya perlu usaha sendiri.

“Tipu jika saya katakan saya tidak risau tapi saya perlu tanamkan keyakinan dalam diri. Dengan cara itu saya tidak akan takut berada di atas pentas,” katanya yang turut menolak dakwaan dia diberi peluang itu kerana menjadi pelajar ‘favourite’ tenaga pengajar.

Telahnya, segelintir tenaga pengajar mungkin ada pilihan masing-masing dan peluang diperoleh datang daripada pilihan dua cabang — tenaga pengajar dan undian SMS.

Ditanya rencana selepas ini, Fina merancang meneruskan impian mengeluarkan album yang menggabungkan adik beradiknya diberi nama Sassu.

Bagi Azri, kemasukan Hazama dan Fina sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati kerana bersifat tidak adil kepada pelajar lain yang patut diberi peluang sama menonjolkan bakat masing-masing.

“Situasi itu mengejutkan kami. Malah, setiap minggu kami bersedia untuk keluar. Namun situasi itu sebenarnya tanpa sedar lebih membakar semangat kami yang tinggal untuk lebih berdaya saing.

“Sejak minggu lalu, jadual kami sangat padat. Selalunya kami hanya perlu menghafal satu lagu tapi untuk pentas akhir, bukan saja perlu menyanyikan single masing-masing, malah tambahan dua lagu termasuk sebuah lagu bonus,” kata jejaka berusia 24 tahun ini.

Kesempatan bertemu, Azri meluahkan rasa bangga usaha mencuba ujibakat AF sejak tujuh tahun lalu akhirnya berbaloi. Biarpun pernah berdiri melalui program realiti lain sebelum ini, usaha meletak nama sendiri ke pentas hiburan masih gagal.

Seperti rakan lain, Azri turut ada rancangan sendiri. Katanya, selepas tamat AF dia akan kembali bersama kumpulan muziknya Breakfast Band dan memperkembangkannya.

“Terus terang, saya selesa menyanyi dengan band. Cuma band saya tiada peluang untuk dikembangkan. Melalui AF, saya yakin band saya akan lebih dikenali atas nama AF yang saya bawa,” kata Azri yang mahu menjadi seperti Rich AF4 yang berjaya menaikkan Estranged selepas tamat AF.

Gadis ‘pasar malam’ berasal dari Sabah, Lena percaya setiap pelajar ada kelebihan dan rezeki tersendiri. Pernah disenarai pendek tiga kali dalam tiga siri AF lalu, Lena tidak menyangka percubaan tidak sengaja kali ini membuahkan hasil.

“Selama di pentas AF9, saya akui sikit terganggu disebabkan alahan pada suhu penyaman udara. Pada minggu ketiga, saya diserang demam teruk sehingga pitam.

“Namun mengenangkan peluang diberi ke pentas akhir malam ini, saya kembali bersemangat dan cuba mengatasi masalah dihadapi sebaik mungkin,” katanya.

Pentas AF9 banyak mengubah gadis berusia 20 tahun ini. Daripada seorang yang kasar pada kelakuan, Lena kini tampak lebih ayu dan kewanitaan.

Perubahan ini banyak membantu Lena membuat yang terbaik untuk peminat. Malah, ia turut mencabar sejauh mana kemampuan dan kebolehan Lena dalam bidang hiburan.

“Pada awal saya mungkin keliru dengan tunjuk ajar diberi. Namun kini tidak lagi dan saya berpuas hati walaupun terpaksa mengenakan kasut tumit tinggi,” seloroh Lena.

Dalam diam, gadis yang meminati Shahir AF8, Adam AF2 dan Dafi AF5 ini menyimpan impian untuk menjadi komposer.

Apatah lagi kesibukan mengikuti kelas AF9, dia sempat mencipta dua lagu baru. Biarpun belum mahu diperdengarkan lagi, Lena berharap impian itu akan terlaksana.

Keempat-empat finalis akan menyampaikan dua lagu termasuk single masing-masing: Hazama — Pukau (nyanyian asal Tomok) dan Cinta Teragung (ciptaan Kuncidemak), Azri — Ku Tak Bisa (nyanyian Slank) dan Niskala Cinta (ciptaan Omar K dan Zel), Fina — Satu Harapan (nyanyian Jaclyn Victor) dan Menangis Lagi (ciptaan Edrie Hashim) manakala Lena — Dunia (nyanyian Bunkface) dan Sisa Cinta Kita (ciptaan Kuncidemak).

Lagu bonus berjudul Fire Work dipopularkan penyanyi antarabangsa, Katy Perry. Konsert AF9 akhir malam ini disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran Astro 104).

Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI