Kereta pelaburan kedua selepas rumah

Tuesday, June 28, 2011

Anda bercadang membeli kereta? Sama ada anda baru pertama kali ingin memiliki kereta atau pun mahu menukar kereta kepada yang lebih bergaya dan mahal harganya, anda hanya mempunyai dua pilihan, membeli kereta baru atau terpakai.

Sebagai pembeli, anda perlu tahu kebaikan dan keburukan membeli kereta terpakai dan baru.

Bagaimanapun, membeli kereta baru lebih selamat kerana masih baru dan anda tidak menghadapi masalah mekanikal sehinggalah selepas membeli dan memandunya. Bagi kenderaan baru tidak semudah itu akan menghadapi masalah teknikal. Jarang ada yang mengeluh yang kenderaannya menghadapi masalah apabila membeli kereta baru. Kecuali anda memang tidak bernasib baik!


Dalam hal ini, anda tidak sukar untuk mengatasinya kerana kereta baru masih dalam tempoh jaminan. Anda boleh berulang alik ke pusat servis atau pengeluar kenderaan berkenaan sebanyak mana yang anda mahu selagi kereta itu masih dalam tempoh jaminan.

Berbanding membeli kereta terpakai, anda berkemungkinan bakal mempunyai masalah mekanikal kerana tidak mengetahui sejarah kereta berkenaan. Adakah pemilik asalnya menjaga dengan baik tidak sekadar pada `bodynya' tetapi keseluruhan enjin dan sistem dalaman kenderaan berkenaan. Mungkin juga kereta itu mengalami kemalangan menyebabkan pemiliknya tidak mahu menanggung risiko kerosakan pada masa depan sekiranya menyimpan lebih lama.

Membeli kereta baru bukanlah semudah membeli pakaian atau kasut di pusat beli-belah, jika tidak berkenan untuk dipakai boleh disimpan atau diberi pada orang. Sebaliknya membeli kereta, itulah kenderaan kita sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun kerana bukan mudah menukar dan membeli kereta sesuka hati kerana membabitkan banyak pihak.

Oleh itu, sebagai pengguna bijak anda perlu melakukan penyelidikan terlebih dulu ke atas kenderaan yang mahu dibeli berdasarkan keperluan anda dan keluarga.

Sebelum mengunjungi bilik pameran kereta, kaji dulu apa jenis kenderaan yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda. Mungkin anda mengidamkan kereta mewah tetapi hakikatnya adakah kemampuan kewangan anda mengizinkan.

Selain itu, anda perlu menyesuaikan dengan jumlah ahli keluarga yang anda ada agar semuanya selesa apabila bersama-sama menaiki kenderaan, terutama bagi mereka yang sering melakukan perjalanan jarak jauh, misalnya pulang ke kampung.

Anda perlu mendapatkan kereta sesuai kerana pembelian kereta ialah pelaburan kedua terbesar selepas membeli rumah. Jangan bila sudah membeli, anda menyesal pula.

Banyak maklumat mengenai model kereta boleh didapati di laman web. Gunakan kemudahan ini untuk membuat perbandingan dari segi corak luaran dan dalaman, kuasa, pengendalian serta panduan mekanikal kereta diidamkan.

Selain itu, anda boleh mendapatkan maklumat melalui pembacaan dari majalah permotoran atau melalui cadangan teman. Seterusnya kunjungi pengeluar kereta yang disenaraikan sebagai kereta pilihan untuk melakukan pandu uji dan mendengar penerangan daripada penjual kereta.

Akhirnya, anda perlu bersedia menghadapi penjual kereta agresif. Jika sudah mempunyai banyak maklumat, anda tidak mudah terpedaya dan boleh membuat pilihan dengan berhati-hati. Selamat memiliki kenderaan baru!.

TIP-TIP MENENTUKAN PILIHAN ANDA

* Adakah mempunyai anak? Berapa ramai?

* Adakah anda sering melakukan perjalanan jauh?

* Adakah anda hanya memandu dalam bandar?

* Anda perlu mempertimbangkan saiz ruang dalaman, ruang simpanan dan kapasiti enjin

* Dapatkan maklumat mengenai penggunaan minyak, kos penyelenggaraan seperti servis dan alat ganti. Dalam keadaan sekarang, ramai pembeli yang mementingkan kereta yang mempunyai sistem penjimatan minyak.

* Ketahui pinjaman kewangan ditawarkan bank tempatan bagi pembelian sewa beli dan bayaran ansuran bulanan. Pinjaman kewangan bank menetapkan kadar faedah tertentu bagi setiap pinjaman. Jadi, anda hanya perlu mendapatkan tawaran istimewa ditawarkan.

* Ketahui mengenai bayaran deposit diperlukan serta kos tambahan atas jalan seperti insurans dan cukai jalan. Anda boleh memilih mengurangkan kos pembelian dengan tidak memasukkan aksesori tambahan yang ditawarkan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI