Dugaan Jimmy Shanley

Sunday, June 19, 2011

Selepas kisah rumah tangganya bersama Nursuhaila Eliani, 25,menjadi bahan bualan hangat, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Jimmy Shanley.


Berlaku jujur dengan peminat dan masyarakat tentang masalah rumah tangganya yang hanya bahagia selama 20 hari, bermacam-macam tuduhan dan kutukan pula dilemparkan kepada pengacara yang popular dengan program Trek Selebriti Astro ini.

Daripada tuduhan dia mengikis harta keluarga mertua sehinggalah dakwaan dia tidak pandai menjaga isteri, semuanya terpaksa ditelan Jimmy walaupun realitinya bukan itu yang berlaku.

Dalam keadaan isterinya sedang sarat mengandung lapan bulan sekarang, sebagai seorang lelaki yang bakal bergelar bapa, wajarlah dia menyambut berita itu dengan penuh rasa teruja.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kata Jimmy, dia tidak mahu terus menyembunyikan masalah rumah tangganya kerana berasa tidak diberi hak untuk menjalankan tanggungjawabnya setelah Nursuhaila bertindak menjauhkan diri darinya.

“Bayangkan, saya dapat tahu dia mengandung pun daripada orang lain.

“Saya tahu dia akan bersalin pada bulan depan, tapi semua maklumat itu bukannya datang daripada mulut dia. Datangnya daripada orang lain.

“Walhal saya ni suami dia dan bapa kepada bayi itu. Tapi sikit pun dia tak bagi peluang untuk saya memainkan peranan.

“Tak pernah sedikit pun terlintas di hati saya untuk melepaskan tanggungjawab sebab setiap masa saya sentiasa memikirkan nasib dan masa depan bayi dalam kandungannya.” katanya.

Menurut Jimmy, selain menyediakan kelengkapan sebagai persiapan untuk menyambut bayi sulungnya itu, sebagaimana bapa lain, dia juga sudah memasang angan untuk memberikan nama buat anak yang bakal dilahirkan.

Namun, seakan sudah faham benar dengan kerenah si isteri, Jimmy tahu, dia tentunya tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

“Nama untuk anak memang ada biarpun saya tak tahu jantinanya. Tapi biarlah saya simpan sendiri sebab saya tahu di akhirnya nanti, dia dan keluarganya yang akan menentukan segala-galanya.

“Macam saya cakap tadi, hak saya sebagai suami dan bapa dinafikan. Jadi tentunya saya boleh mengagak apa yang akan berlaku.

“Nak peluk? Nak azankan anak itu, nak mencium dia? Rasanya angan-angan itu terlalu jauh untuk dicapai.

“Sedangkan gambar imbasan bayi kami pun dia tak tunjukkan pada saya, inikan pula nak menikmati peluang sebegitu,” luah Jimmy yang mengaku berat badannya juga sudah turun sebanyak 14 kilogram dek kerana sering memikirkan masalah rumah tangga.

Bapa yang baik

Seakan sudah berputus asa untuk memujuk isteri agar kembali bersama, Jimmy tidak menafikan bahawa segala usahanya selama ini bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Semuanya bagai tidak kena di mata Nursuhaila. Itu belum sentuh lagi bab malu. Kata Jimmy, rasanya sudah menimbun malu yang dihimpun dan terbeban di bahunya.

Lebih-lebih lagi apabila semua orang sudah tahu mengenai pekung rumah tangganya.

Malu bertambah berkali ganda apabila usaha untuk memujuk seringkali dipandang sepi kerana keegoan seorang isteri.

Dek kerana itu, kata Jimmy, soal isteri kini bukan lagi perkara pokok yang menjadi keutamaannya.

Apa yang menjadi fokusnya sekarang cuma anak dalam kandungan Nursuhaila.

“Terus-terang saya cakap, apa yang saya mahukan cuma anak itu.

“Bukanlah mahu mendabik dada, tapi saya yakin saya boleh menjaga bayi tersebut lebih baik daripada ibunya sebab saya kenal isteri saya itu bagaimana orangnya,” katanya.

Ketika ditanya tidak terlintaskah di hatinya untuk memaafkan tingkah sang isteri, ulas Jimmy kepada Pancaindera, dia boleh berbuat demikian asalkan isterinya itu sanggup berubah.

“Saya boleh tutup sebelah mata mengenai kesalahan dia dan bersedia ampunkan dia. Semuanya demi anak kami.

“Kenapa saya cakap begitu? Sebab saya tahu bagaimana rasanya hidup tanpa ibu bapa, jadi saya tak mahu anak saya menerima nasib yang sama.”

Jadikan kes satu iktibar

Perbualan bersama Jimmy tempoh hari juga telah membawa Pancaindera membawa emosi lelakinya mengenai perihal perkahwinan dan perceraian.

Sempat melayangkan pandangan, kata Jimmy, dia mahu agar apa yang berlaku ke atas rumah tangganya dijadikan iktibar oleh masyarakat seluruhnya.

Menurut Jimmy, meski dia tidak menyangka kisah rumah tangganya bagai telur di hujung tanduk, dia bagaimanapun percaya kesabaran adalah jalan terbaik buat masa ini.

“Buat semua kaum lelaki di luar sana, sama ada yang bakal atau sudah berkahwin, nasihat saya jadikanlah kes ini sebagai pengajaran.

“Ya, memang benar kuasa talak ada di tangan kita, tetapi sebagai seorang suami, kita perlu banyak muhasabah diri dan bersabar jika diduga begini.

“Jangan sewenang-wenangnya lafazkan cerai. Kalau boleh elak, kita elaklah daripada bercerai.

“Ini saya lihat sendiri semasa turun naik mahkamah, saya tengok banyak betul kes perceraian dan terus-terang, saya memang sedih dengan situasi ini,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, menurut Jimmy, dia juga percaya, untuk menjadi ibu bapa yang baik, setiap pasangan itu perlulah menjadi suami dan isteri yang baik.

Dalam pada itu, Jimmy juga sempat melayangkan ucapan terima kasihnya kepada kedua mertuanya yang banyak membantunya dari segi emosi ketika dia diduga dengan ujian Allah S.W.T ini.

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI