Penulis Lirik Masakini Tidak Kreatif -Ad Samad

Wednesday, May 25, 2011

Ad Samad,penulis lirik, mempersoalkan kemampuan penulis lirik pada hari ini yang dianggap tidak kreatif sehingga membuatkan mereka gagal menghasilkan lirik yang baik.


Katanya, lirik-lirik yang tidak berkualiti itu bukan hanya terhasil pada zaman sekarang malah sejak zaman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee lagi.

“Kalau nak cakap fasal kualiti sesebuah lirik dalam lagu, sebenarnya sejak dari dulu lagi lirik-lirik yang dihasilkan tiada kualiti termasuklah beberapa lagu P. Ramlee.

"Dalam erti kata lain, liriknya tidak mempunyai maksud yang tepat walaupun lagu tersebut mempunyai melodi yang sedap untuk didengar.

"Sebagai contoh lagu Dalam Air Ku Terpandang Wajah dalam filem Masam Masam Manis nyanyian P.Ramlee yang turut memuatkan antara bait liriknya iaitu "handsome macam gajah," katanya.

Tambah Ad, penulisan lirik yang kurang berkualiti bermula apabila pendengar muzik tempatan tidak pernah mengkritik terhadap lirik yang dihasilkan oleh seseorang itu.

Hal ini disebabkan oleh kebanyakan masyarakat kurang terdedah dengan ilmu pembacaan sekali gus membuatkan mereka kurang tahu atau faham dengan bahasa yang digunakan dalam lirik tersebut.

"Saya bukan mahu kritik sembarangan, tapi realitinya, lirik kita tidak banyak yang bagus. Pada pendapat saya dalam 100 lagu, mungkin ada 10 lagu sahaja yang mempunyai lirik yang baik.

"Jujur saya katakan, masyarakat kita sebenarnya kurang membaca dan kerana itu mereka tidak pandai mengkritik. Lalu, penciptaan sesebuah lirik lagu itu pula menjadi biasa," tegas Ad.

Dalam pada itu, beritahu Ad, ramai yang tidak sedar bahawa bahasa kasar atau bahasa 'pasar' yang digunakan dalam lirik lagu mampu menjadi indah jika cara penulisan dan maksud itu tepat memandangkan orang ramai lebih banyak terdedah dengan bahasa 'pasar'.

"Orang selalu menganggap apabila bahasa 'pasar' digunakan dalam lirik lagu, ia menunjukkan lagu itu agak biadab untuk diperdengarkan. Tetapi sebenarnya ia merupakan bahasa yang indah jika bijak menggunakan kata-kata," ujarnya.

~ Mstar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI