India cenderung gugur anak perempuan

Thursday, May 26, 2011

Kecenderungan menggugurkan anak perempuan di India menyebabkan bilangan kanak-kanak perempuan sehingga usia enam tahun kurang 7.1 juta orang berbanding kanak-kanak lelaki sebaya.

Jurang antara gender itu meningkat lebih sejuta orang dalam tempoh sedekad, menurut satu kajian yang disiarkan, hari ini.

Di kalangan ibu bapa di India yang mempunyai anak perempuan sebagai anak sulung, semakin ramai yang mendapat kemudahan ujian ultrabunyi menggugurkan anak perempuan dengan harapan kehamilan berikutnya akan menghasilkan anak lelaki, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet.

Nisbah jantina yang semakin memihak kepada kanak-kanak lelaki adalah lebih ketara dalam keluarga kaya berbanding keluarga miskin, lapor penyelidik.

Mereka menganggarkan antara 1980 hingga 2010, empat hingga 12 juta anak perempuan digugurkan semata-mata kerana jantinanya.

"Pengguguran anak perempuan, selalunya selepas kelahiran anak sulung perempuan, meningkat di India sejak beberapa dekad lalu, dan menjadi faktor yang membawa kepada ketidakseimbangan yang semakin ketara dalam nisbah jantina kanak-kanak," kata mereka.

Kekurangan kanak-kanak perempuan berumur sehingga enam tahun ialah 6 juta orang pada 2001 dan 4.2 juta pada 1991.

"Peningkatan dalam pengguguran anak perempuan dipercayai disebabkan sikap mengutamakan anak lelaki, di samping penurunan kadar kesuburan," menurut pengarang laporan.

Bilangan purata anak yang dilahirkan oleh setiap wanita India merosot daripada 3.8 pada 1990 kepada 2.6 pada 2008.

Dalam kajian itu, penyelidik yang diketuai Prabhat Jha daripada Pusat Kesihatan Global di Universiti Toronto menganalisis data banci 2011 dan tahun-tahun sebelumnya. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI