Bahtera Merdeka Daya Tarikan Pelancong Terbaru Di Melaka

Saturday, May 14, 2011

Bahtera Merdeka, sebuah amfiteater dalam bentuk kapal dari zaman silam, bakal menjadi daya tarikan pelancong terbaru di Melaka apabila dibuka kepada orang ramai menjelang hujung tahun ini.

Mohd Nizar Mohd Najib, yang menerajui Pekan Legasi Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab membina tarikan pelancongan terbaru itu, berkata Bahtera Merdeka akan mempunyai kapasiti 472 tempat duduk dan boleh diubah menjadi lokasi penganjuran majlis-majlis khas.

"Kami mula membina Bahtera Merdeka pada Oktober tahun lepas," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian antara syarikat berkenaan dan SME Bank di sini.

Bank itu diwakili oleh pengarah urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Mohd Nizar berkata projek itu kini siap 70 peratus dan membabitkan kos RM25 juta. SME Bank memberi pinjaman RM18.3 juta bagi pembiayaan projek berkenaan.

Katanya Bahtera Merdeka akan menawarkan kepada pengunjung pertunjukan 5-D pada sebuah layar air yang menceritakan tentang kelahiran Melaka yang kemudiannya menempuh tahun-tahun kemakmuran sehinggalah kepada bermulanya Malaysia.

"Kami akan mengadakan pertunjukan itu lima kali sehari dan menjangka dapat menarik kedatangan kira-kira 10,000 pengunjung sebulan," katanya, sambil menambah tiket berharga antara RM40 dan RM60 seorang.

Projek itu, sebahagian daripada fasa pertama projek Melaka Alive yang terletak di Tapak Warisan Dunia, turut merangkumi kerja-kerja memberi wajah baru kepada Muzium Sejarah, Muzium Maritim dan Kompleks Muzium Warisan.

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI