Jemaah haji dan umrah perlu beli skim takaful – MATTA

Saturday, April 09, 2011

Umat Islam perlu membeli skim takaful haji dan umrah daripada Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sebelum menunaikan ibadat itu.

Presiden MATTA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, skim itu diwajibkan bagi melindungi keselamatan dan harta benda mereka semasa menunaikan ibadat itu.

"Malah keperluan sedemikian bagi perlindungan inklusif adalah penting apabila berlaku kejadian yang tidak diingini dan apabila mereka memerlukan rawatan perubatan dan bantuan lain semasa berada di seberang laut.

"Pelan ini dapat membantu bagi menyediakan perlindungan kepada mereka. Kami mahu umat Islam berasa tenang semasa berada di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA dan Hong Leong Takio Marine Takaful Bhd (HLTM Takaful) di sini, hari ini.

Harga skim itu bermula dengan kadar paling rendah RM40 dan disediakan di bawah tiga pelan berasingan iaitu pelan asas skim takaful kemalangan individu haji dan umrah MATTA, Pelan Premium dan pelan premium tambahan.

Ia menyediakan pemindahan perubatan kecemasan, penghantaran balik jenazah, perlindungan perbelanjaan perubatan, elaun pengebumian dan “Badal Haji" (mengerjakan haji bagi pihak orang yang telah meninggal dunia dan individu yang cacat kekal). – Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI