Persatuan Hotel Bajet Selangor - Hotel Mesra Muslim

Wednesday, March 16, 2011

Sekumpulan pengusaha hotel bajet di Selangor bercadang memperkenalkan perkhidmatan hotel murah berkonsepkan mesra Muslim bagi menarik lebih ramai pengunjung dari negara Islam.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Selangor Ir Mohamed Hassan KB Hamzah berkata langkah itu merupakan strategi baru pihaknya untuk meningkatkan imej hotel bajet ke arah mencapai wawasan 2020 untuk Selangor.

Beliau berkata negeri itu mensasarkan ketibaan 36 juta orang pelancong menjelang 2020 dengan pendapatan RM168 bilion.

"Kita akan cuba merangka apa yang boleh kita laksanakan dalam konsep itu dalam usaha untuk menarik pelancong terutama pelancong Timur Tengah.

"Dengan ini, ia sekaligus dapat mengubah imej hotel bajet yang selama ini dipandang negatif oleh sesetengah pihak yang sering mengaitkannya dengan aktiviti tidak bermoral," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Keempat persatuan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk melaksanakan konsep perkhidmatan hotel seumpama itu.

Persatuan itu akan meletakkan pelekat di kaunter penerimaan tetamu untuk memudahkan pelancong membezakan hotel biasa dengan hotel yang berkonsepkan Islam.

-- BERNAMA

1 Komen:

Anonymous said...

bersetuju dengan konsep hotel bajet ini..
selain daripada dpt mnghindar gejala x bermoral, ia juga dapat memberi imej negara islam yang lebih jelas. ini kerana, kebanyakan hotel di negara ini melarang pekerja wanita bertudung dan menjual minuman keras secara terbuka yang sama sekali berlawanan dengan syariat islam

Post a Comment

 

ZONFINITI