Malaysia di tangga ke-12 utamakan kaum wanita

Tuesday, March 15, 2011

Malaysia merupakan negara ke-12 terbaik di kalangan negara anggota Komanwel daripada segi memberi layanan kepada kaum wanita.

Malaysia berkongsi kedudukan itu bersama Jamaica, St. Kitts dan Nevis, serta Namibia, berdasarkan satu kajian ke atas 54 negara anggota Komanwel.

Ia berdasarkan lapan penunjuk termasuk daripada segi harapan hidup, pelajaran, peluang pekerjaan dan kejayaan dalam sukan serta politik.

Laporan kajian itu bertajuk Because You're A Girl yang disediakan oleh Persatuan Diraja Komanwel dan Pelan UK, sempena Hari Komanwel menyatakan New Zealand berada di tempat pertama daripada segi memberi keutamaan kepada wanita.

Ia diikuti negara-negara Kepulauan Caribbean - Barbados, Trinidad dan Tobago, manakala Nigeria dan Sierra Leone berada di tempat tercorot.

Berdasarkan salinan laporan dari ibu pejabat rancangan Asia di Bangkok, India, negara anggota Komanwel yang mempunyai penduduk paling tinggi, berada di tempat ke-41, sementara Pakistan di tempat ke-45.

Rumusan daripada kajian tersebut menunjukkan keinginan politik merupakan keutamaan dalam kesamaan jantina dan bukan kekayaan ekonomi.

Rwanda yang merupakan sebuah negara termiskin berada di tempat pertama daripada segi penglibatan wanita dalam politik, sementara negara Komanwel terkaya, Brunei, berada di tangga ke-23.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pelan UK, Maria Staunton berkata, laporan itu sebagai mesej kepada semua negara Komanwel bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan. - dpa

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI