Akua Ekstrem,TV2 setiap Ahad, 6 petang

Friday, March 04, 2011

Bermula 27 Februari lalu, saluran TV2 membawakan sebuah lagi program permainan realiti menyeronokkan berjudul Akua Ekstrem untuk hiburan penonton setianya. Program ini menemui penonton setiap Ahad, jam 6 petang.

Rancangan 26 episod ini muncul rancangan TV realiti pertama seumpamanya diadakan di Malaysia. Program ini berkonsep pertandingan permainan air, memberikan gambaran suasana yang amat menyeronokkan, dramatik dan komedi tatkala peserta menempuh setiap cabaran dan halangan.

Lebih menarik, hadiah bernilai RM30,000 menunggu peserta untuk dimenangi. Akua Ekstrem yang diterbitkan oleh Triomedia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Radio Televisiyen Malaysia menggunakan pelaburan sekitar RM5 juta bagi memastikan kejayaannya.

Pelaburan itu adalah bagi meningkatkan kemudahan prasarana dan kemudahan pusat peranginan terkemuka di Taman Tema Air A’Famosa. Rancangan ini dihoskan pengacara tidak asing lagi, Nazaruddin Habibur Rahman, dengan ditemani pelakon, Chin Yin Yee; dan model, Sangeeta Krishnasamy.

Seramai 250 peserta terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina dan India dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan air yang lasak ini.

Dibahagikan kepada tiga kumpulan, lelaki dan wanita daripada peringkat umur 16 hingga 45 tahun, perlu merangkak, melompat, menghayun dan bergayut dalam cubaan mereka untuk melepasi halangan serta rintangan.

Hadiah-hadiah yang menarik ditawarkan kepada peserta yang berjaya menempuh lapan halangan dan rintangan terbabit seperti pakej percutian, jam tangan berjenama mewah, telefon bimbit dan hamper.

Akua Ekstrem ialah aktiviti yang sesuai untuk semua lapisan umur dan kaum. Selain dapat menguji kekuatan mental dan fizikal individu, ia juga mampu mewujudkan semangat kerjasama berkumpulan dalam menghadapi cabaran serta halangan.

Persis lumrah kehidupan yang memerlukan keberanian serta semangat yang tabah dan sikap “Just Do It”. Di sini, sudah semestinya mereka yang mempunyai kemahiran serta semangat yang jitu akan mempunyai kelebihan.

Saksikan rancangan Akua Ekstrem pada setiap Ahad, 6 petang hingga 7 petang, hanya di TV2.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI