Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru perlu diteliti

Wednesday, February 23, 2011

Kerajaan diminta memperhalusi Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru sebelum ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen Mac ini bagi memuaskan hati penduduk kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana beberapa cadangan dalam rang undang-undang itu didapati menimbulkan keresahan di kalangan penduduk Kampung Baru seperti terma mengenai “kuasa mutlak menteri”.

Justeru, katanya, Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar diminta mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelesaikan perkara yang ditimbulkan oleh mereka sebelum Mac ini.

“Saya melihat ketika dibentangkan kali pertama, akta ini menakutkan orang. Contohnya, kuasa menteri adalah mutlak, maknanya tidak boleh didakwa.

“Bagi pemilik tanah di Kampung Baru, makna kuasa mutlak ialah apabila menteri itu berbuat sesuatu, ia harus dilaksanakan. Itulah maksud tersirat yang difahami pemilik tanah Kampung Baru,” katanya.

Beliau ditemu bual dalam rakaman program Sembang Online bertajuk ‘Pembangunan Kampung Baru: Realiti atau Retorik’ di Bangunan Zikay di Kampung baru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Zikay, Datuk Mohd. Khay Ibrahim.

Johari menambah, selain isu kuasa mutlak menteri, akta itu juga merunsingkan penduduk terbabit terutama mengenai cadangan pembubaran badan Penempatan Tanah Pertanian Melayu (Mas) di Kampung Baru.

Katanya, perkara itu meresahkan penduduk kerana mereka merasakan Mas perlu dikekalkan demi kepentingan dan kelangsungan Melayu.

Dalam perkembangan sama, Johari memberitahu, UMNO akan terus memperjuangkan nasib para pemilik tanah di Kampung Baru agar mereka berupaya mendapat pulangan memuaskan menerusi program pembangunan pada masa depan.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk Kampung Baru agar tidak terpengaruh dengan hasutan mana-mana pihak yang dilihat cuba memanipulasi isu tersebut demi kepentingan politik mereka. - Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI