Datuk Illani Isahak

Sunday, February 27, 2011

Pada pagi Khamis, 24 Februari 2011, Pengerusi Jawatankuasa untuk Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), Datuk Illani Isahak pergi mengadap Ilahi.

Pemergiannya pada saat jawatankuasa itu sedang giat berdialog bagi memulakan usaha membina kepercayaan antara penganut-penganut agama bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Urus setia bersama sedia maklum tentang tahap kesihatan beliau. Pada waktu itu, kudrat beliau semakin lemah sehingga bersolat pun dilakukan secara duduk. Namun, keikhlasan hati dan semangat tinggi beliau (tanpa pejabat dan kemudahan-kemudahan sokongan) mahu melaksanakan tugas itu dalam apa sahaja masa yang tersisa sangat menyerlah.

Datuk Illani Isahak

Kami kerap menerima SMS daripada beliau tidak kira masa menyebabkan urus setia menggandakan usaha agar matlamat murni persefahaman berkaitan isu-isu agama dapat terus dipupuk dan diperkukuhkan secara muhibah semasa hayat beliau.

Beberapa program telah berjaya diadakan walaupun jawatankuasa menerima amanah secara rasmi pada 9 Julai 2010. Sebelum melangkah jauh, beliau dengan sokongan padu urus setia bersama telah menganjur bengkel untuk membangunkan pelan strategik bagi jawatankuasa.

Keazaman beliau untuk memastikan visi dan misi jawatankuasa serta terma rujukan dan bidang tugas dimantapkan dihadiri sepenuhnya walaupun kesihatan beliau pada waktu itu kurang baik. Antara batuk dan kepayahan bernafas, beliau mahu pelan jangkamasa pendek dan panjang dirangka bersama. Dalam ucapan aluan, beliau mengingatkan bahawa setiap ahli perlu berhati-hati kerana tidak mahu terjebak dengan prasangka-prasangka buruk. Atas ingatan tersebut, landasan yang dibina selama dua hari itu memfokuskan kepada usaha-usaha yang mempromosi persefahaman dan keharmonian di antara penganut agama melalui cara mewujud, menggalak serta memantapkan iklim perhubungan yang baik di kalangan pemimpin serta penganut pelbagai agama.

Penekanan itu dilakukan agar terbina jambatan persahabatan berteraskan semangat saling hormat menghormati, percaya mempercayai dan bekerjasama di semua peringkat kepimpinan serta akar umbi. Kerja-kerja tersebut diamanahkan kepada Jawatankuasa Kerja Aktiviti bagi melaksanakan secara bersama aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

Dalam mempromosikan persefahaman tersebut, semua pertubuhan agama diingatkan supaya berpegang kepada terma rujukan utama iaitu jawatankuasa ini hendaklah menghormati serta patuh kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya yang berkaitan dengan agama. Adalah menjadi harapan beliau supaya jawatankuasa ini dapat mencadang kepada kerajaan, dasar-dasar yang berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi mengekalkan pegangan rakyat kepada prinsip Rukun Negara – “Kepercayaan kepada Tuhan”. Jawatankuasa Kerja Persefahaman Terhadap Isu-isu Antara Penganut Agama bekerja mengikut terma ini.

Sebagai seorang yang mendapat pendidikan undang-undang, beliau mempunyai pandangan positif kepada usaha mediasi dalam menyelesaikan pertelingkahan. Dalam sesi perbincangan tentang pendekatan yang berkesan, cadangan beliau disambut oleh kebanyakan ahli dan jawatankuasa ini (JKMPKA) telah diterima untuk bertindak sebagai satu mekanisma dan melaksanakan aktiviti intervensi apabila isu keagamaan, salah faham atau pertelingkahan antara penganut pelbagai agama mulai merebak atau berpotensi menjadi isu yang mungkin mengancam keharmonian masyarakat dan ketenteraman negara. Jawatankuasa Kerja Mediasi Antara Penganut Agama telah diberikan tugasan tersebut dan kemahiran untuk menjalankan mediasi termasuk latihan khusus mediasi menjadi agenda utama bagi jawatankuasa tersebut.

Rangka landasan berjaya dibina dalam tempoh dua hari tersebut menantikan kapalterbang untuk terbang jauh dan tinggi. Dalam ucapan penutup, beliau menyatakan perasaan terharunya kerana bengkel itu berjalan lancar dan dalam suasana harmoni.

Di celah-celah kesibukan, beliau sempat menghadiri tiga program penting berkaitan persefahaman antara penganut agama iaitu Seminar Agama dan Hak Asasi Manusia: Ke Arah Pemurnian Kefahaman yang dianjurkan oleh IKIM.

Bersusah payah

Pada 19-20 Oktober pula, beliau sekali lagi dengan bersusah payah datang ke IKIM untuk seminar berkaitan dengan “Kesihatan Mental: Mendepani Cabaran Hidup Semasa”. Dengan bilangan pesakit mental yang ramai dan kadar bunuh diri yang meningkat, agama dilihat sebagai penyelesai kepada kekalutan emosi dalaman seseorang individu. Wakil agama Islam, Hindu, Sikh dan Kristian telah ditemukan dalam satu forum yang dipengerusikan oleh beliau turut disertai oleh 130 peserta.

Pada bulan itu juga, dalam salah satu mesyuarat jawatan kuasa, beliau telah menunjukkan pada saya buku baru bertajuk “Religion and Pluralistic Coexistence: the Muhibbah Perspective.” karangan Prof. Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau membayangkan sama ada IKIM boleh menganjurkan dialog antara agama berkaitan dengan buku tersebut. Permintaan tersebut disambut dan dalam waktu yang singkat satu majlis dialog telah dianjurkan secara tertutup oleh Urusetia Bersama pada 2 November, 2010 dihadiri oleh 40 orang ahli Jawatankuasa tersebut. Perbincangan semasa majlis dialog yang dipengerusikan oleh beliau sendiri ditumpukan kepada kepentingan menghormati setiap agama yang dianuti oleh rakyat di Malaysia berlandaskan semangat muhibah supaya keharmonian yang dinikmati dapat dikekalkan demi kesejahteraan negara ini.

Antara program terakhir yang turut sempat dibuat semasa hayat beliau adalah seminar berkaitan dengan “Peranan Agama dalam Menangani Gejala Sosial” pada 8 dan 9 Disember, 2010. Beliau hadir kerana yakin dengan peranan positif yang agama boleh mainkan di dalam menangani isu gejala sosial seperti penagihan dadah, perjudian, pelacuran, ketagihan arak dan rasuah. Wakil-wakil agama Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Sikh juga turut dijemput untuk menjayakan seminar ini.

Program terakhir yang dipengerusikan oleh beliau adalah Majlis Dialog Bersama Penasihat Bersama Jawatankuasa ini di IKIM pada 20 Januari 2010. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan muhibah antara ahli-ahli jawatankuasa ini dengan kedua-dua Menteri Penasihat iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Itulah kali terakhir JKMPKA bersua muka dengan beliau.

Usaha yang telah diatur bersama tetapi tidak dapat dihadiri beliau kerana telah dimasukkan ke hospital adalah pada 14 Februari 2010. Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri bersama pemimpin-pemimpin agama sempena World Interfaith Harmony Week berlangsung dengan jayanya. Ramai pemimpin agama pada waktu itu ingin menziarahi beliau di hospital tetapi atas permintaan keluarga, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Walaupun beliau telah pergi meninggalkan kita menyahut panggilan Illahi, semangatnya kekal bersemadi di hati jawatankuasa ini. Semangat beliau sama seperti semangat Jentayu yang dinyanyikan oleh Nora, iaitu “patah sayap, bertongkat paruh, patah paruh, bertongkat siku, patah siku , bertongkat dagu…”

Dengan semangat yang ditinggalkan itulah, usaha dialog perlu diteruskan supaya isu-isu yang memerlukan pendekatan agama dapat dijayakan secara bersama oleh pemimpin-pemimpin agama di Malaysia. Perjalanan jawatankuasa ini masih jauh. Perjalanan beliau di alam barzakh baru bermula. Didoakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin





0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI