Boboiboy superhero berwajah tempatan

Monday, February 28, 2011

Animasi Boboiboy merupakan produk sulung milik syarikat Animonsta Studios yang diterajui oleh Mohd. Nizam Abdul Razak serta dua rakan kongsi, Mohd Safwan Ab. Karim (Safwan) dan Muhammad Anas Abdul Aziz (Anas).

Dijangka bakal mencipta satu lagi fenomena terbaru ‘dunia’interaktif tempatan, produk tersebut tidak mustahil mampu membawa kelainan dalam perkembangan profil dan penghasilan animasi tempatan.



Bertemu Nizam, Safwan dan Anas baru-baru ini, masing-masing rancak bercerita perihal siri projek animasi itu yang dijangka menemui peminat di kaca televisyen pada tahun depan.

Siri tersebut bakal disiarkan selama 26 episod di mana setiap satunya dengan durasi selama 11 minit.

“Ketika ini, kami masih dalam peringkat perbincangan. Watak-watak yang bakal memainkan peranan penting dalam siri ini sudah ada dan minggu ini kami akan cuba menyiapkan kesemua karakter itu.

“Berbanding animasi Upin & Ipin, dalam Boboiboy kami ingin berkongsi banyak pengetahuan. Ditambah dengan pengunaan pelbagai gajet,secara tidak langsung ia dapat menimbulkan pelbagai perasaan kepada yang menontonnya nanti.

“Bagi kami yang penting ialah penyampaian. Kalau boleh kami ingin mencipta satu lagi ‘ikon’ untuk kanak-kanak di negara ini,” kata Nizam mewakili rakan-rakannya.

Apa yang menarik dalam Boboiboy ialah beberapa daya tarikan yang terkandung meliputi karakter superhero Bo, Boi dan Boy, nilai-nilai murni, karakter makhluk asing (alien) dan juga unsur futuristik disekitar ibu kota.

Ringkasnya mengenai animasi tersebut, ia memaparkan karakter utama iaitu seorang kanak-kanak bernama Boboiboy dan dibantu oleh beberapa karakter tambahan seperti Gopal, Ying, Yaya.

Dalam usaha menyalur bantuan kepada orang ramai, Boboiboy akan terpisah kepada tiga orang iaitu Bo, Boi dan Boy yang mempunyai tiga kuasa berbeza termasuk tanah, angin dan petir.

Turut diwujudkan ialah karakter makhluk asing yang membawa pulang biji kopi ke planetnya, namun kerana aroma dan rasa kopi yang begitu sedap, seluruh kroni makhluk asing itu sanggup turun ke bumi semata-mata untuk mendapatkan kopi tersebut.

Secara ringkasnya juga, Gopal iaitu karakter budak India yang mempunyai kuasa menukar sesuatu barang kepada barang yang lain.

Ying karakter budak Cina yang mempunyai kuasa yang membolehkannya bergerak pantas berbanding rakan-rakannya yang lain. Sementara itu,Yaya pula merupakan karakter kanak-kanak perempuan comel yang bertudung.


Kepada yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai Boboiboy dan Animonsta Studios, sila layari laman sesawang, www.animonsta.com.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI