Biografi Sudirman di History (Saluran Astro 555) pada 20 (10 malam), 22 (11 malam) dan 23 Februari (9 malam)

Friday, February 18, 2011

Penghibur lagenda Sudirman Arshad meninggal dunia pada 22 Februari 1992 ketika usianya baru 37 tahun. Dia bukan saja dikurniakan bakat sebagai penyanyi, bahkan dia juga diberi kelebihan sebagai penggubah, penulis, pengarang buku, pelukis kartun dan pengusaha.

Ia juga pernah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor Satu Asia selepas kali pertama memenangkan Anugerah Penyanyi Asia pada 1989 di London. Sudirman juga diberi julukan sebagai Penghibur Milik Rakyat, Seniman Rakyat dan Elvisnya Malaysia.


Anak bongsu daripada enam bersaudara itu aktif menyanyi sejak kecil dan di sekolah dia menyertai pertandingan syair, pidato, pantun, kuiz dan terbabit dalam pertunjukan teater dan paduan suara sekolah.

Sudirman mula mencatat nama sebagai penyanyi ketika menjadi juara Bintang RTM pada 10 Ogos 1976 dengan membawakan lagu Seruling Bambu, Big Spender dan Jali-jali.

Banyak anugerah, namun di kala menerima sanjungan dan pujian dia pergi meninggalkan kita semua kerana menghidapi penyakit ganjil.

Siapa yang tidak ingat, pada 15 April 1986, Sudirman mengukir namanya dalam Malaysia Book of Records selepas mengadakan konsert di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Konsert itu berhasil mengumpulkan hampir 100 ribu penonton warga kota yang berbondong-bondong datang menonton. Jalan Chow Kit di era Sudirman adalah gelanggang marhaen, menjadi simbol orang kecil yang juga peminat Sudirman. Konsert jalanan seperti itu adalah sebagai tanda terima kasihnya kepada peminat yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau konsert mahalnya.

Justeru, bagi mengingati semula kisah hidup dan kejayaan Sudirman selaku anak seni, History Channel dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menerbitkan program biografinya, Sudirman Arshad.

Biografi itu akan disiarkan di History (Saluran Astro 555) pada 20 (10 malam), 22 (11 malam) dan 23 Februari (9 malam). Diikuti pada 1 (9 malam), 11 (11 malam) dan 13 Mac ini (7 malam).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI