Filem pilihan sepanjang 2011

Saturday, January 15, 2011

Ditayangkan pada 11 Mac nanti, Battle: Los Angeles dilihat antara judul yang bakal menggamit perhatian ramai pada 2011. Walaupun kisah makhluk asing menakluki bumi bukanlah sesuatu yang baru, tetapi dalam judul ini, pengarah Jonathan Liebesman mahu mendedahkan cerita kemusnahan dunia daripada kaca mata askar pula.

Peperangan menentang makhluk asing dikatakan dirasa cukup dekat dengan perspektif penonton kerana filem ini mempunyai gaya sentuhan dokumentari. Dengan makhluk asing digambarkan sebagai sebuah pasukan tentera, manusia berdepan musuh yang cukup liat, yang bergerak secara teratur dan mempunyai bentuk luar biasa.

Pada tarikh yang sama, sebuah lagi judul dikira cukup menarik akan menemui penonton, Red Riding Hood.

Catherine Hardwicke dikenali ramai menerusi filem pertama Twilight dan selepas berpisah dengan francais berkenaan, dia mengangkat kisah popular, Red Riding Hood, ke filem. Difahamkan, versi Hardwicke tidak berapa sesuai untuk tontonan kanak-kanak kerana skrip yang dihasilkan David Johnson mempunyai sentuhan gothik, manakala watak Valerie di tangan Amanda Seyfried pula dilihat agak nakal. Valerie ialah gadis yang terperangkap dalam cinta tiga segi ketika dia berusaha menghalau sekumpulan serigala jadian daripada terus mengancam kampungnya.
Kemudian, pada 25 Mac, penonton akan dapat menyaksikan sekumpulan gadis lasak dalam pakaian ketat beraksi menerusi filem Sucker Punch.

Walaupun bergantung kepada bintang muda seperti Emily Browning dan Vanessa Hudgens, filem Zack Snyder ini dilihat menggunakan pendekatan yang menyimpan daripada digelar filem bersifat kewanitaan. Isu psikologi yang dihadapi karakter utama, Babydoll, akan menambah kekuatan cerita pada ketika penonton diajak berteka-teki, mana satu dunia realiti dan yang mana pula fantasi.

Pada 15 April, antara francais filem seram yang paling berjaya pada era moden ini, Scream, kembali dengan judul keempatnya. Jeritan dan watak pembunuh bertopeng kembali mengganggu Woodsboro dan watak kesukaan ramai, Sydney Prescott.

Bintang asalnya, Neve Campbell, Courteney Cox dan David Arquette bergabung kembali untuk menjayakan filem ini, manakala Emma Roberts dan Hayden Panettiere pula ditambah ke dalam senarai pelakonnya sebagai tarikan buat peminat muda.

Tidak cukup dengan barisan berkenaan, Kristen Bell dan Anna Paquin turut muncul sebagai bintang undangan.

Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides akan menemui penonton pada 20 Mei, dengan aktor Johnny Depp kembali menghidupkan watak Jack Sparrow. Namun kali ini, dia tidak lagi dibantu oleh Orlando Bloom dan Keira Knightley, sebaliknya Jack akan bertemu wanita baru, Angelica, yang dilakonkan Penelope Cruz.

Dihasilkan dalam bentuk 3D, pengembaraan mereka kali ini adalah untuk mencari air pancut keramat yang dikatakan mampu mengembalikan keremajaan seseorang.

Tarikh Mei 26 pula menyaksikan filem The Hangover 2 bakal menghiburkan peminat, dengan mengetengahkan barisan pelakon seperti Zach Galifianakis, Bradley Cooper dan Ken Jeong. Usah lupa juga saksikan kemunculan bintang jemputan, Liam Neeson dan bekas presiden, Bill Clinton, yang pasti menambahkan lagi kekecohan.

Jika pada 2008 peminat terpesona dengan kisah seekor panda yang belajar kung fu, pada 27 Mei nanti mereka sekali lagi dapat bergelak ketawa dengan karakter comel terbabit apabila Po muncul dalam Kung Fu Panda 2. Ia turut mengekalkan barisan pelakon seperti Jack Black, Lucy Liu, Dustin Hoffman, Jackie Chan, Seth Rogen dan Angelina Jolie. Ditambah dengan teknologi 3D terkini, tentunya ia judul yang cukup menghiburkan hati.

Sebuah lagi filem yang dikatakan bakal meletup di pawagam tahun ini ialah The Tree of Life arahan Terrence Malik. Ditayangkan pada 27 Mei, filem bercorak drama ini dikatakan bakal menghidangkan kesan khas yang mengagumkan, yang belum pernah disaksikan dalam mana-mana judul sebelum ini. Ia dilakonkan bintang berkaliber seperti Sean Penn dan Brad Pitt.

Manakala filem aksi Transformers: Dark of the Moon pula akan mula diputarkan pada 1 Julai. Bintang seksi, Megan Fox tidak akan menayangkan badannya dalam filem ketiga ini, sebaliknya watak utama wanita akan dijayakan oleh model Victoria Secret, Rosie Huntington-Whiteley. Filem ini juga dikatakan judul terakhir dalam trilogi Transformers.

Jika Transformers bakal menyaksikan filem ketiga memasuki panggung, Final Destination pula akan membuat penonton menjerit buat kali kelima. Menemui penonton pada 26 Ogos, filem terbaru ini juga pastinya akan penuh dengan kisah kematian mengerikan, apatah lagi ia diarahkan oleh Steven Quale, pembantu James Cameron untuk filem Avatar. Penonton boleh mengharapkan sesuatu yang segar daripada pengarah berkenaan.

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI