MyTV3 lebih padat

Saturday, November 13, 2010

Program majalah bermaklumat disiarkan secara santai, MyTV3 terbitan TV3 kini berwajah baru dengan menampilkan program 30 minit setiap Ahad, jam 6 petang.

Lebih padat dengan perisian program baru, MyTV3 juga mewujudkan satu interaksi dan komunikasi yang lebih rapat bersama ahli-ahlinya di samping menghargai sokongan padu mereka selama ini.

Majlis pelancarannya diadakan di gerai MyTV3 sempena penganjuran Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 7 November lalu. Ahli-ahli MyTV3 dijemput untuk meraikannya bersama krew MyTV3, MyTV3 Roverz dan juga artis-artis jemputan seperti Intan Ladyana, Erry Putra, Comel Hotel Mania dan Munir.

Program yang menampilkan personaliti televisyen popular, Aidid Marcello sebagai pengacara memberi peluang kepada ahli-ahli untuk mengikuti perkembangan terkini MyTV3 menerusi empat segmen eksklusif iaitu MyDREAMS, MyMEMBERS, MyDAY dan MyZONE.


Sejak memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jom Heboh) pada 2004, sesi pendaftaran dan pengambilan ahli baru rancak dijalankan selama tujuh tahun. Sehingga kini, MyTV3 masih berdiri kukuh dengan jumlah keahlian hampir 1 juta orang.


Menerusi program 30 minit itu, MyDREAMS merealisasikan impian ahlinya seperti mahu melancong ke luar negara, ingin memandu kereta mewah, beramah mesra dengan artis pujaan dan sebagainya. Dalam segmen MyMEMBERS, pula memaparkan keunikan kisah hidup ahli MyTV3 untuk dijadikan sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Seterusnya dalam segmen MyDAY, krew MyTV3 akan menerjah ahlinya tanpa dijangka dan memberi kejutan yang tidak dijangka seperti meraikan hari jadi dan menjalankan aktiviti-aktiviti spontan bersama MyTV3 Roverz. Sementara MyZONE pula memaparkan pelbagai informasi dan paparan buletin mengenai ahli yang terbabit dalam acara yang dianjurkan oleh TV3 seperti Karnival Jom Heboh, MyTV3 Campus, School Attack, Kids Parade dan Anugerah Juara Lagu.

Selain itu, program ini juga mewujudkan interaksi dua hala dengan ahli-ahli menerusi laman web, Facebook dan Twitter untuk berkongsi maklumat terkini serta menerima sebarang maklum balas dan cadangan daripada mereka. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Ridzuan berkata penubuhan keahlian MyTV3 memberi pendekatan kepada ahli untuk menjadi sebahagian warga TV3.

Krew penerbitan program MyTV3 diketuai oleh Aidid Marcello selaku Penerbit Eksekutif merangkap pengacara, Faizal Affendy Roos Affendy selaku Penerbit dan dibantu Roziela Rusli. Sebarang maklum balas, sila hubungi talian MyTV3 03-77242485, melalui Facebook www.facebook.com/mytv3 dan emel kepada mytv3@tv3.com.my.

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI