Sejarah, mitos dan legenda Sungai Brunei

Friday, October 29, 2010

MENYUSURI Sungai Brunei melihat deretan rumah papan di Kampong Ayer adalah aktiviti wajib bagi pelancong kerana kunjungan ke negara terkenal dengan hasil minyak dikira tidak lengkap jika tidak melawat kampung itu.

Sebagai tarikan pelancong, Kampong Air yang menempatkan kita-kira 42 perkampungan dengan jumlah penduduk 20,000 adalah sebahagian daripada sejarah Brunei yang diwarisi sejak turun temurun.

Dalam sejarah Brunei, kewujudan Kampong Ayer dikatakan bermula pada zaman pemerintahan Sultan Brunei pertama, Awang Alak Betatar. Kampong Ayer mulanya terletak di tepi sungai berhadapan Kota Batu, lokasi istana dan kediaman pembesar negara.

Kemudian kawasan Kampong Ayer berpindah dari muara sungai ke dalam Sungai Brunei yang ada sekarang iaitu berhadapan Pelabuhan Jambatan Kastam ketika di bawah pemerintahan Sultan Brunei ke-6, Sultan Abdul Kahar, yang memerintah dari 1524 hingga 1530.

Perkembangan semasa serta perubahan yang berlaku turut memberi tempias kepada Kampong Ayer, rumah dulunya diperbuat daripada tiang kayu kini ditukar tiang konkrit dan bagi berkemampuan, rekaan dalam rumah boleh menyebabkan rasa tidak percaya ia terletak di Kampong Ayer.

Rombongan media dan ahli jawatankuasa Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau 2010 ke Brunei baru-baru ini, sempat mengunjungi Kampong Ayer untuk melihat sendiri perkampungan yang turut menempatkan 14 sekolah termasuk sekolah rendah agama dan dua sekolah menengah.

Kami sempat dibawa Pengurus Roda Impian Cruise, Normar Ziana Abdullah, 40, berehat di rumahnya yang sudah diubah suai dengan reka bentuk moden, mempunyai siling lepa kumai berwarna warni dan berhawa dingin yang terletak di Kampong Ayer.

Beliau yang menjalankan perniagaan bot pelancong berkata, pembinaan rumah di Kampong Ayer perlu mengikut peraturan ditetapkan dan sentiasa di bawah pengawasan kerajaan. Bagaimanapun, sejak kebakaran kerap berlaku, kerajaan menghentikan kebenaran membina rumah di perkampungan itu.

Selain Kampong Ayer yang menjadi destinasi kemestian pelancong, Sungai Brunei menyimpan banyak kisah sejarah, mitos dan legenda yang membentuk ketamadunan orang Brunei dan menjadi cerita menarik untuk dikongsi.

Contohnya, kisah Jong Batu yang ditemui di Sungai Brunei, terletak ke arah barat Istana Nurul Iman adalah mitos mengenai anak derhaka yang tidak asing kepada masyarakat Melayu di Malaysia dan rakyat Indonesia.

Jika kita terikat dengan cerita rakyat Si Tanggang dan Indonesia dengan Malim Kundang, versi Brunei ialah batu granit berbentuk seperti kapal tenggelam kira-kira 20 meter panjang dan 15 meter lebar itu, menyimpan kisah Nakhoda Manis.

Cerita rakyat itu mengisahkan Dang Ambon seorang balu kaya kerana mewarisi harta suami dengan anaknya, Nakhoda Manis. Sementara versi lain mengatakan, beliau dan anaknya hidup miskin dan tinggal di Kampong Ayer.

Nakhoda Manis meninggalkan Kampong Ayer untuk mencari harta di Sulu dan selepas beberapa tahun, beliau menjadi kaya raya lalu berkahwin dengan wanita bangsawan yang cantik serta memiliki kapal besar.

Mengikut legenda, Dang Ambon yang kaya raya berkongsi hartanya dengan orang miskin hingga satu hari beliau mendapati dirinya juga miskin seperti yang lain. Pada masa sama, beliau sentiasa merindukan anaknya yang merantau.

Apabila Dang Ambon mendengar berita kapal anaknya berlabuh di Sungai Brunei, beliau sungguh gembira dan Nakhoda Manis juga tidak sabar bertemu ibunya. Dang Ambon mendayung sampan ke arah kapal dan menjerit nama anaknya.

Nakhoda Manis sungguh gembira mendengar suara ibunya, tetapi belum sempat memperkenalkan ibunya, isteri Nakhoda Manis melahirkan rasa jijik terhadap wanita tua itu dan meminta dia dihalau.

Nakhoda Manis terpaksa berpaling daripada ibunya dan mengarahkan anak kapal menolak sampan kecil itu. Dang Ambon begitu kecewa dan menyumpah anaknya. Ketika itu datang ribut dan sebaik ribut berhenti, timbul batu besar di mana kapal Nakhoda Manis berlabuh.

Batu itu kini dikenali sebagai Jong Batu dan berhampirannya dibina rumah api untuk memberi amaran kepada bot mengenai pulau batu itu.

Satu lagi cerita rakyat yang menarik sempat dikongsi ialah pulau kecil dipanggil Lumut Lunting yang dikaitkan dengan legenda berlaku 500 tahun lalu membabitkan pertandingan sabung ayam antara kerajaan Brunei dan Majapahit.

Mengikut cerita, Brunei ketika itu di bawah jajahan Majapahit dan terpaksa membayar ufti kepada Majapahit. Pada masa itu ada seekor ayam sabung yang terkenal kerana kejaguhannya, Mutiara, yang dimiliki Awang Senuai, anak saudara Sultan Brunei, Awang Alak Betatar.

Ia menarik minat Raden Angsuka Dewa yang mempunyai ayam sabung dinamakan Asmara. Kedua-dua kerajaan bertaruh yang mana Raja Majapahit akan menyerahkan kembali ufti tahunan itu kepada Brunei jika kalah, sementara Brunei kekal di bawah jajahan jika kalah.

Pada hari pertandingan sabung ayam, Mutiara dan Asmara mula menyerang satu sama lain hingga tiba-tiba Asmara yang ditikam dan cedera parah ketika perlawanan melompat keluar dari bulatan diikuti Mutiara.

Asmara yang lari untuk merawat luka akhirnya jatuh ke dalam laut dan bertukar menjadi pulau dinamakan Pulau Pilong-Piolongan sementara Mutiara yang cuba mengejar jatuh ke dalam sungai, disumpah Raja Majapahit menjadi batu seakan pulau kecil dipanggil Lumut Lunting.

Berdasarkan cerita orang tua Kampong Ayer, batu Lumut Lunting tidak pernah ditenggelami air tidak kira berapa tinggi air sungai naik kerana jika batu itu tenggelam, ia adalah petanda ada kerabat diraja akan meninggal dunia.

Di samping tinggalan kisah silam itu, keunikan budaya penduduk Kampong Ayer yang menarik minat ialah cara mereka menguruskan uri atau tembuni anak selepas kelahiran. Jika masyarakat negara ini menanam uri, penduduk Kampong Ayer, menyangkut uri yang dibungkus dan diletak dalam tin atau baldi di ranting pokok di tebing sungai.

Selain sejarah kenegaraan, pengembaraan ke negara orang akan mendedahkan pelancong dengan banyak kisah menarik, terutama cerita rakyat, kisah dongeng, mitos atau legenda yang dekat di hati penduduk tempatan. Nampaknya, Brunei, Malaysia dan Indonesia berkongsi kisah anak derhaka.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI