Rahsia 13 tahun Phua Chu Kang

Monday, August 30, 2010

Suasana di dalam bilik berlangsungnya sidang akhbar bersama barisan pelakon Phua Chu Kang The Movie (PCKTM) baru-baru ini memang cukup gamat.



Sangkaan pada mulanya, ia mungkin akan menjadi sebuah sidang akhbar yang biasa seperti mana yang pernah dihadiri sebelum ini.

Tetapi, kali ini atmosfera itu cukup berbeza dan puluhan pihak media yang hadir di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur tidak henti ketawa melihat gelagat barisan pelakon PCKTM.

Paling mencuri perhatian pada sidang akhbar itu ialah Irene Ang yang memeran watak sebagai Rosie Phua dalam siri komedi popular itu dan juga versi filemnya.

Apa sahaja yang keluar dari bibirnya yang dioles dengan gincu merah menyala itu dengan pantas menggeletek hadirin.

Keletah Irene mengusik 'suaminya', Phua Chu Kang yang dilakonkan oleh Gurmit Singh dan seorang lagi pelakon filem itu, Henry Thia juga

"Singapura sebuah negara kecil. Jadi, kalau mahu ke mana-mana jaraknya tidaklah terlalu jauh.

"Tetapi berbeza dengan Malaysia. Sudahlah negaranya besar dan jika mahu ke satu-satu tempat itu memang agak jauh sedikit.

"Kerana itulah saya cepat menjadi kurus kerana saya banyak berjalan setiap kali berada di Malaysia," jawab Irene selamba dengan loghat Singlish (bahasa Inggeris gaya orang Singapura) apabila ditanya rahsia kelangsingan tubuhnya itu.

Jawapan duta pusat pelangsingan badan terkemuka, Marie France Bodyline itu seraya disambut dengan hilai tawa pihak media yang tidak kering gusi melihat gelagatnya itu.

Jika hendak dibandingkan dengan 'isterinya', Gurmit lebih selesa untuk mendiamkan diri dan kurang aktif pada sidang akhbar itu.

Bukan mahu bersikap sombong, tetapi kata Gurmit dia masih lagi di peringkat awal penyembuhan penyakit denggi yang dihidapinya beberapa hari sebelum hadir ke Malaysia tempoh hari.

Dia tegar mengikut nasihat doktor untuk tidak menjadi terlalu aktif kerana kebarangkalian untuk dirinya dimasukkan kembali ke hospital memang cukup besar.

Bagi yang mengenali Gurmit, dia memiliki perwatakan yang ceria dan seperti mana Irene mampu menggeletek sesiapa sahaja dengan gelagat dan kata-katanya.

Lalu, apabila melihat Gurmit pada sidang akhbar itu yang hanya diam dan sekali sekala ketawa apabila diusik Irene, ia bukan Gurmit yang biasa dilihat sebelum ini.

"Kalau saya sudah menyarungkan kostum saya dan menjadi Phua Chu Kang, memang secara automatik saya akan menjadi aktif dan tidak boleh duduk diam.

"Kerana itu, saya tidak boleh menjadi Phua Chu Kang hari ini kerana masalah kesihatan saya. Bimbang kalau apa-apa jadi pada saya nanti.

"Mahu ke Malaysia untuk mempromosikan filem ini pun sebenarnya dilarang oleh doktor kerana dia takut saya akan menjadi terlalu energetik sehingga menjadi terlalu letih," jelas Gurmit yang dimasukkan ke hospital di Singapura selama tiga malam sekitar dua minggu lalu.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI