Portal Skodeng bukan aibkan artis

Sunday, August 22, 2010

Kemajuan teknologi zaman moden turut menjadikan telefon bimbit sebagai salah satu aplikasi pelbagai guna. Bukan hanya membuat panggilan serta mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS), ia turut menjadi sumber hiburan dan informasi terkini kepada pengguna.

Kemunculan portal hiburan telefon bimbit di Malaysia, Skodeng Artis bukan hanya dapat memberi pilihan kepada pengguna mengikuti perkembangan artis pujaan mereka malah membantu menjana pendapatan artis itu sendiri. Fuze Studios dan Megamobile Solutions Sdn Bhd bertanggungjawab membekalkan kandungan dan muat turut yang disediakan menerusi khidmat itu.

Pengarah Urusan Fuze Studios yang juga pengarah filem, Azizi Chunk Adnan, berkata penggunaan telefon bimbit sejak ke belakang ini semakin meningkat dengan mendadak. Idea untuk menghasilkan portal artis berkenaan timbul kerana berasakan ramai dalam kalangan masyarakat terutama peminat industri seni tanah air ingin mengetahui mengenai perkembangan artis popular tanah air.

"Sebagai permulaan menerusi perisian ini kami menawarkan program membabitkan aktiviti, perkembangan terbaru, muat turut menerusi gambar dan video klip terus menerusi telefon bimbit pengguna. Artis kumpulan pertama yang terbabit dalam projek ini antaranya Juliana Evans, Zizan Raja Lawak, Yasmin Hani, Irma Hasmie, Almy Nadia, Fizz Fairuz, Tony Yusof, Jehan Miskin dan Shaheizy Sam.

"Besar kemungkinan dengan penyertaan lebih ramai artis popular tanah air pada masa akan datang. Menerusi portal ini juga pengguna dapat mengetahui aktiviti positif yang jarang dihebahkan oleh pihak media. Selama ini jika banyak disajikan dengan isu negatif membabitkan artis saja. Kehadiran portal ini juga bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak.

"Menerusinya jika peminat dapat mengetahui kebolehan dan bakat seseorang yang yang jarang mendapat liputan. Sebagai contoh Jehan (Miskin) yang gemar aktiviti lasak sementara ramai yang tidak tahu Tony boleh menyanyi," katanya pada majlis pelancaran di Restoran Rebung, Bangsar, baru-baru ini.

Katanya, jika tiada aral portal ini akan diperkenalkan di Singapura dan Brunei pada masa akan datang. Selain kandungan hiburan pengguna yang melanggan khidmat portal berkenaan turut menjadi sebahagian daripada penyumbang derma apabila 10 sen daripada setiap langganan RM2 seminggu akan diserahkan kepada Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK). Presiden Seniman Malaysia, Harun Salim Bachik, turut menyambut baik usaha pihak terbabit memperkenalkan portal terus ke telefon bimbit pengguna dan ia ternyata memudahkan peminat untuk mengikuti perkembangan artis pujaan mereka.

"Tajuk portal berkenaan juga sudah cukup menarik. Ini adalah satu langkah pintar untuk memudahkan peminat mengikut perkembangan semasa artis pujaan mereka. Ia secara tidak langsung membantu meningkatkan imej artis," katanya.

Sementara pelakon dan pelawak, Zizan pula memberitahu kemunculan portal menerusi telefon bimbit itu memberi kemudahan kepada peminat untuk mengenali lebih dekat mengenai artis pujaan mereka. Bukan hanya memaparkan aktiviti terkini malah portal berkenaan juga memberi pelbagai kemudahan dan maklumat menerusi telefon bimbit.

"Segala bentuk maklumat yang dipaparkan boleh jadi agak peribadi dan boleh jadi sebaliknya. Begitupun, saya tidak menganggap ia sebagai menceroboh kehidupan peribadi sebaliknya memberi gambaran jelas kepada peminat mengenai aktiviti seni artis.


"Ini adalah satu langkah wajar untuk mempromosi seseorang artis. Secara tidak langsung menjana pendapatan artis," katanya.

Bagi pelakon, Almy Nadia pula dia menganggap usaha menghasilkan portal berkenaan adalah satu langkah wajar. Selain mempromosi diri melalui media cetak dan media elektronik kewujudan portal berkenaan juga sedikit sebanyak dapat membantu golongan artis.

"Ia menjadi platform khusus antara peminat dan artis. Ini perkembangan positif dalam industri seni hiburan tanah air," katanya. Untuk melanggan Skodeng Artis, taip ON SKO dan hantar SMS ke 39799. Dengan harga serendah RM2 seminggu (tidak termasuk kos data pembekal) pengguna akan menerima pelbagai maklumat membabitkan artis pujaan mereka. Maklumat lebih lanjut layari laman web http://web.skodengartis.mobi

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.


Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI