Nilai persahabatan dalam Toy Story 3

Saturday, June 26, 2010

Filem: Toy Story 3
Genre: Animasi Komedi Pengarah: Lee Unkrich Penyumbang Suara: Tom Hanks, Tim Allen, Joan Cusack, Ned Beatty, Don Rickles dan ramai lagi.
Tayangan: Mulai 17 Jun 2010

Jika jarak menghasilkan Toy Story dengan Toy Story 2 mengambil masa lima tahun. Kali ini Disney - Pixar memperuntukan masa lebih panjang untuk muncul dengan siri ketiganya. Toy Story dan Toy Story 2 mencatat kejayaan besar buat Disney-Pixar apabila muncul filem paling besar kutipannya. Ketika kali pertama diperkenalkan pada 1995, mereka mencatat kutipan RM1.13 bilion di seluruh dunia.
Manakala Toy Story 2 yang menyusul pada 1999 mengumpul RM1.6 bilion. Bagaimana dengan nasib Toy Story 3 pula?

Berdasarkan kepada pengalaman lalu, tidak mustahil filem animasi mengenai kehidupan dunia permainan ini bakal sekali lagi mencatat kejayaan besar. Masih lagi mengisahkan mengenai patung koboi bernama Woody dan rakan baiknya Buzz Light Year, Toy Story 3 padat dengan pelbagai elemen, lucu, mencemaskan dan terselit babak yang menyentuh hati penonton.
Di awal cerita lagi, penonton dihidangkan dengan jenaka bersahaja. Kali ini, Toy Story 3 membawa penonton menyelami kebimbangan Woody bersama rakan-rakannya apabila pemilik mereka Andy yang kini berusia 18 tahun bakal menyambung pengajian ke kolej.

Andy menghadapi dilema sama ada membawa permainan kegemarannya ke kolej, menyimpan atau membuang saja mereka. Ibu Andy menyarankan supaya membuang saja permainannya atau paling tidak dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak Sunnyside Daycare.

Andy membuat pilihan untuk membawa Woody bersama dan meninggalkan yang lain-lainnya di loteng rumah mereka. Bagaimanapun ibu Andy tersalah mengambil plastik yang dibungkus Andy untuk di hantar ke loteng, lalu membawanya ke tong sampah.

Bagaimanapun, rakan-rakan Woody iaitu Buzz, Mr dan Mrs Potato Head, Barbie, Jessie, Bullseye, Rex the Dinosaur, Slinky Dog, Hamm The Piggy Bank dan Squeeze Toy Aliens, berjaya melarikan diri daripada diangkut lori sampah.

Mereka melarikan diri ke dalam kereta ibu Andy dan masuk ke dalam kotak untuk dihantar ke Sunnyside Daycare kerana kecewa dengan tindakan Andy. Woody yang cuba menyelamatkan rakan-rakannya akhirnya terjebak dan turut sama mengikut mereka ke pusat jagaan berkenaan.

Di pusat jagaan itu, mereka bertemu dengan permainan beruang bernama Lots-o Huggin Bear yang bertindak sebagai ketua di pusat berkenaan. Beruang berwarna merah jambu bersama rakan-rakannya yang lain seperti Big Baby dan Kent menyambut kehadiran mereka dengan baik malah menyatakan betapa beruntungnya mereka kerana dapat menginap di pusat itu.

Ternyata kebaikan serta janji manis ditaburkan beruang merah jambu itu hanyalah palsu semata-mata. Rakan-rakan Woody yang teruja tinggal di situ sebaliknya terseksa apabila dilayan dengan buruk oleh kanak-kanak di pusat berkenaan termasuklah rakan baru mereka. Woody yang dari awal sudah dapat menghidu sesuatu yang buruk bakal berlaku terlebih dulu berjaya menyelamatkan diri. Dia bagaimanapun ditemui oleh seorang kanak-kanak yang menginap di pusat berkenaan bernama Bonnie.

Di rumah Bonnie, Woody bertemu dengan beberapa lagi permainan milik kanak-kanak comel itu. Mereka menasihatkan Woody supaya menyelamatkan rakan-rakannya kerana mereka tentu akan dibuli oleh beruang merah jambu serta konco-konconya. Bagaimanakah nasib rakan-rakan Woody, adakah mereka akan terselamat? Jangan lupa saksikan sambungan Toy Story 3 di pawagam.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI