Duit tol - Identiti budaya Melayu Johor

Saturday, June 05, 2010

Paluan kompang diiringi selawat memuji-muji Nabi Muhammad S.A.W memecah kesunyian pada suatu petang yang cukup cerah di Kampung Parit Haji Ali Tengah, Muar, Johor.


Saat itu juga sekumpulan rombongan berarak mengiringi seorang lelaki persis pahlawan Melayu melangkah menuju ke rumah pengantin perempuan.

Si jejaka segak berpakaian songket rona coklat yang datang dari Perak pasti ingin terus duduk di atas takhta bersebelahan permaisuri hatinya.

Saat ingin masuk ke pelamin, rombongan tersebut tiba-tiba 'disekat' oleh dua orang remaja perempuan dengan lagak hulubalang istana. Tanpa berkata-kata apa-apa, mereka hanya menadah tangan sebagai tanda meminta sesuatu.

Bagaimanapun rombongan yang disertai oleh 20 orang wakil itu sedikit pun tidak gentar. Mereka sudah bersiap sedia dengan sampul-sampul berisi wang untuk 'disogokkan' kepada remaja perempuan terbabit supaya membuka laluan itu.

Namun halangan itu hanyalah permulaan sekatan. Di depan pelamin mereka berdepan dengan halangan yang serupa. Tapi kali ini empat orang wanita dalam lingkungan umur separuh abad menadah tangan meminta 'tol'. Mereka turut mengusik pengiring pengantin lelaki yang masih muda. Usikan itu disambut dengan gelak ketawa tetamu yang hadir.

Saat halangan itu dibuka, peluh pengantin lelaki mula menitik. Namun, seorang wanita kelihatan enggan bangkit dari singgahsana pengantin malah dia masih setia menghalang muka pengantin perempuan dengan sebuah kipas tangan.

Walaupun sudah diberi sejumlah sampul berisi wang, beliau masih enggan bangun. Sehinggalah nilainya mencukupi RM100 barulah wanita yang di panggil mak andam itu beredar dan memberi laluan untuk majlis tersebut diteruskan.

Suasana tersebut walaupun kelihatan membebankan pihak pengantin lelaki kerana perlu membayar sejumlah wang, namun kemeriahannya begitu dirasai.

Anak jati Muar, Johor, Rokiah Saleh, 58, menceritakan kepada wartawan Kosmo! bahawa adat tebus pelamin atau lebih popular disebut duit tol oleh masyarakat Johor itu sudah lama diamalkan dalam majlis perkahwinan mereka.

"Zaman turut merubah cara pembawaan adat ini. Jika dahulu terdapat banyak peringkat dalam upacara ini antaranya yang dipanggil tebus laman iaitu sekumpulan anak muda atau warga emas akan menunggu duit tol di laman rumah.

"Ada satu lagi sekatan untuk menghalang pengantin lelaki daripada terus masuk ke muka pintu atau di tangga yang dipanggil tebus pintu untuk tujuan sama," jelasnya.

Namun, halangan terakhir adalah yang paling sukar kerana mak andam akan berada di kerusi pengantin lelaki untuk menanti sampul tersebut.

"Selalunya wang yang diminta oleh mak andam adalah dalam jumlah yang lebih tinggi berbanding halangan orang lain.

"Adat ini menunjukkan perlambangan bahawa seorang wanita itu sangat berharga dan bukan mudah untuk dimiliki. Justeru mereka harus sentiasa dihargai," ujar wanita tersebut.

Apa yang menariknya dalam acara itu adalah suasana akan berubah menjadi hingar-bingar dengan gelak ketawa sanak saudara dan para tetamu. Ia sebenarnya boleh mengeratkan ikatan silaturrahim di antara keluarga pengantin.

Menurut Rokiah, amalan tersebut juga sebenarnya adalah sebagai satu simbol untuk mengalu-alukan rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.

Menghidupkan majlis


"Bagaimanapun upacara ini hanya dilakukan di rumah pengantin perempuan sahaja. Suasana meriah tersebut tidak dapat dilihat di rumah pengantin lelaki," jelasnya.

"Kini kemeriahannya turut berubah kerana ia jarang dihayati oleh anak-anak muda. Ada yang mengamalkannya sekadar untuk mendapatkan wang dan bukan berniat untuk mengeratkan hubungan," kongsi Rokiah lagi.

Bagaimanapun situasi tersebut jelas memberi keuntungan kepada mak andam apabila akan mendapat duit tol sehingga RM150 pada satu-satu majlis persandingan di Johor.

"Jumlah itu bukanlah terlalu membebankan kerana bayaran tersebut hanyalah sebagai saguhati daripada pengantin lelaki kepada mak andam setelah menjaga pengantin perempuan seharian," jelas jurusolek, Jeslina Ngatman yang bertanggungjawab menyolek pasangan Muhammad Abu Bakar As-Siddiq Khairi, 24 dengan Sofiah Abdollah, 24, dalam acara kenduri hari itu.

"Jika tiada adat tol suasana majlis ini majlis mungkin kurang meriah kerana mak andam akan bergurau-senda dengan wakil pengantin lelaki untuk memperoleh duit tol sehingga berpuas hati dengan nilainya.

"Justeru, mak andam akan beredar dari pelamin untuk memberi laluan kepada pengantin lelaki duduk dan mengalihkan kipas yang menutup wajah pengantin perempuan setelah duit buka kipas mencukupi," jelas wanita berusia 36 tahun itu.

Menurut pengantin lelaki Muhammad Abu Bakar yang berasal dari Lumut, Perak, beliau pada mulanya terkejut saat diberitahu mengenai upacara berkenaan oleh isterinya beberapa minggu sebelum majlis berlangsung.

"Saya tertanya-tanya bagaimanakah adat itu dilangsungkan, tetapi saat majlis tersebut berjalan ia sebenarnya menghidupkan majlis kami.

"Ia sesuatu yang baru bagi saya. Berbeza negeri dan budaya sememangnya menyeronokkan kerana saya boleh belajar budaya orang lain.

PERUBAHAN zaman tidak memberi kesan besar kepada adat perkahwinan masyarakat Johor. - Gambar hiasan

Beliau yang mengenali Sofiah sejak belajar di Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2, Lumut, Perak ketika berada di darjah lima menjelaskan, adat tersebut mempunyai kebaikan dan keburukannya.

"Pada asalnya, adat ini diperkenalkan untuk mengeratkan hubungan antara keluarga di kedua-dua belah pihak. Tetapi, sekiranya ia dibuat semata-mata untuk mengaut keuntungan sesetengah pihak, ia memang tidak wajar.

"Kadang-kadang pihak lelaki yang berasal dari luar Johor terpaksa menanggung kos tambahan yang sepatutnya tiada dalam bajet perkahwinan," jelasnya.

Sementara itu Pensyarah di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hamidah Abdul Rahman menjelaskan, adat tebus pelamin adalah tradisi yang sepatutnya diteruskan kerana ia mencerminkan identiti budaya masyarakat Johor.

"Adat ini adalah upacara yang unik kerana ia sudah wujud dan diwarisi oleh masyarakat Johor sejak beberapa generasi.

"Masyarakat Melayu pada zaman dahulu mengamalkannya dengan tujuan untuk menggamatkan suasana majlis perkahwinan. Ia sekadar untuk hiburan semata-mata.

Jika diperhalusi objektif adat tersebut, ia adalah inisiatif untuk mengeratkan hubungan kedua-dua belah pihak selain memberi sedikit penghargaan kepada sukarelawan yang membantu majlis tersebut berjalan lancar.

Masyarakat zaman dahulu kata Hamidah, berpegang kepada semangat kerjasama dan sentiasa terlibat dengan apa juga aktiviti yang dijalankan di kampung.

"Pengantin lelaki memberikan tol kepada mereka sebagai penghargaan kerana melancarkan majlis," jelas anak jati Pahang yang sudah 17 tahun berkhidmat di negeri Johor itu.

Menjelaskan mengenai jumlah wang tol yang diberikan, Hamidah berpendapat, ia perlu releven dan mak andam sepatutnya tidak mengenakan wang tol yang membebankan pihak lelaki.

"Pastinya pihak lelaki telah menghabiskan banyak wang untuk majlis perkahwinannya, jadi mak andam tidak wajar meminta tol yang terlalu tinggi.

"Pada zaman dahulu, jurusolek akan melakukan kerja-kerjanya secara sukarela dan ia wajar mendapat wang tol sebagai tanda penghargaan daripada pihak lelaki kerana mencantikkan si ratu sehari.

"Pada zaman kini mak andam telah pun diupah dan dia sepatutnya menerima wang tol sekadar untuk simbolik adat itu sahaja dan bukannya membebankan keluarga pengantin," tambahnya.

Apatah lagi jika pengantin lelaki kehabisan wang, ia boleh menjatuhkan maruah keluarga pengantin lelaki.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI