Wanita hamil 3 bulan mati dipijak

Monday, April 19, 2010

Mayat seorang wanita hamil dengan kesan jerutan pada leher ditemui di Taman Tasik Perdana, di sini dalam keadaan mengerikan, termasuk janinnya terkeluar dipercayai selepas perut mangsa dipijak oleh penyerangnya. Ketika ditemui kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu, mayat mangsa pembunuhan kejam itu juga sudah hampir reput sehingga menyukarkan polis mengenal pasti identitinya.

Mangsa yang hamil tiga bulan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan taman tasik berkenaan dalam tempoh kira-kira seminggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata mayat terbabit ditemui pengawal keselamatan tasik berkenaan yang mencari punca bau busuk di kawasan itu sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Siasatan awal polis mendapati wanita berusia lingkungan 30-an itu dibunuh kejam dengan lehernya dijerut menggunakan kain dan kayu. Lebih mengerikan apabila perut mangsa dipercayai dipijak sehingga menyebabkan janinnya terkeluar,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Derma Darah Peringkat Polis Kuala Lumpur, di sini semalam, beliau berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan wanita berkenaan, tetapi tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pergaduhan di antara mangsa dan penyerangnya.

“Polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersama mangsa, kecuali jam tangan dan sapu tangan dipercayai milik wanita itu yang sudah diserahkan kepada Unit Forensik untuk mengesan cap jari.

“Justeru, kita meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan kes ini yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya

Oleh Fazlina Abdul Rahim

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI