'Tuan Muda' pelajar cemerlang SPM 2009

Friday, April 16, 2010

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff mengesahkan remaja yang menyamar sebagai 'Tuan Muda' merupakan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.


Beliau memberitahu, remaja itu merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bera Bandar 32 di Teriang.

Katanya, pelajar terbabit pernah memohon kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bera untuk mengambil slip keputusan peperiksaan miliknya lebih awal berbanding pelajar lain, namun permohonan itu ditolak.

''Permohonan pelajar terbabit ditolak kerana ia bertentangan dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan. Motif dan tujuan pelajar terbabit ingin mendapatkan keputusan SPM lebih awal tidak diketahui,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu seorang pelajar cemerlang SPM ditahan polis kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang bagi membolehkannya mengadakan lawatan ke semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini.

Pelajar terbabit menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan memakai gelaran 'Tuan Muda'.

Bagaimanapun, penyamaran remaja itu terbongkar apabila salah seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating di sini mengetahui identiti sebenarnya.

Difahamkan, suspek bukan sahaja mengadakan 'kunjungan hormat' ke kem PLKN tetapi juga turut serta dalam Program Mesra Rakyat anjuran Felda di Wilayah Mempaga pada 26 dan 27 Mac lalu yang turut dihadiri oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Abd. Wahab.

Sebelum ini, kesahihan keputusan SPM pelajar terbabit dipertikaikan oleh Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar kerana salinan sijil yang pernah disertakan bersama surat ketika memohon untuk menghadap baginda tiada tandatangan sebagaimana kebiasaannya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI