Pilihanraya Hulu Selangor ujian genting untuk konsep 1Malaysia

Thursday, April 22, 2010

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini bakal menjadi medan ujian bagi mengukur penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan nasional.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan, Datuk Karim Bujang berkata pilihan raya itu akan menentukan sama ada pengundi di Hulu Selangor benar-benar mahu konsep itu diterjemahkan dalam kehidupan mereka atau sebaliknya.

"Saya tetap yakin pengundi di Parlimen Hulu Selangor bukan setakat memahami konsep IMalaysia, malah tidak akan memberi peluang lagi kepada parti pembangkang untuk menjadi wakil rakyat mereka," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Karim berharap Barisan Nasional (BN) akan kembali merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor, sekali gus membuktikan kepada seluruh rakyat negara ini bahawa konsep 1Malaysia mampu menjadi landasan utama pembentukan masyarakat lebih bersatu padu dan bertoleransi demi kemajuan negara yang berkekalan.

"Kita sememangnya berkongsi pandangan, hasrat dan cita-cita untuk melihat masyarakat pelbagai kaum di negara ini mempunyai satu cita-cita iaitu menjadi masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain sambil tidak mengabaikan apa-apa yang sudah dipersetujui dalam Perlembagaan Negara," katanya.

Mengenai pembangunan, Karim menyokong ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadsah Abdullah yang mengingatkan kerajaan negeri supaya menilai semula pencapaian sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan mengkaji segala kekuatan dimiliki selain mengenal pasti ruang yang boleh ditambah baik.

Beliau berkata pesanan itu wajar dan tepat pada masanya terutama dalam memantapkan pelaksanaan RMK-10, sekaligus memberi laluan kepada negara mencapai hasrat bergelar negara maju menjelang 2020.

Katanya, walaupun RMK-9 menyaksikan negara berdepan krisis kewangan global, rakyat Sabah berada dalam kelompok bertuah kerana mencatatkan pelaburan baru berjumlah RM15.6 bilion antara tahun 2006 dan 2009, dengan sebahagian besarnya tertumpu pada sektor harta tanah, insuran dan pembinaan.

Sementara itu, Karim mencadangkan agar penggunaan bot 'pump' diharamkan di perairan Sabah bagi membantu usaha kerajaan membanteras kegiatan penyeludupan, mengebom ikan dan jenayah lain yang dilakukan dengan menggunakan bot itu.-Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI