Pemenang Hadiah Kajai Malam Wartawan Malaysia 2010

Saturday, April 17, 2010

Wartawan Bernama, Melati Mohd. Arif, 53, menerima hadiah wang tunai RM30,000 serta pingat emas seberat 100 gram bernilai RM12,900 dan sijil setelah dinobat sebagai pemenang Hadiah Kajai pada Malam Wartawan Malaysia 2010 di sini malam tadi.


Wartawan Utusan Malaysia, Laupa Junus (gambar) pula mengungguli kategori Alam Sekitar Cemerlang dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan sijil.

Sebanyak 11 kategori lain turut dipertandingkan yang menawarkan hadiah RM12,000 hingga RM15,000 bagi setiap kategori antaranya Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Laporan Berita Cemerlang, Penulisan Rencana Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang dan Dokumentari Video Terbaik.

Malam Wartawan Malaysia 2010 ditaja oleh 48 badan korporat dengan Petronas selaku penaja utama dengan jumlah hadiah tunai mencecah RM300,000.

Institut Akhbar Malaysia (MPI) bertindak selaku badan yang bertanggungjawab menguruskan pemilihan para pemenang.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pengawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Muhyiddin dalam ucapannya menegaskan, media perlu membantu meminimumkan kebencian, pertelagahan dan prejudis terhadap negara ini terutama di kalangan rakyat dan di mata dunia.

Beliau berkata, adalah lebih murni lagi sekiranya sikap serta perasaan negatif itu ditiadakan.

"Tolonglah kerajaan memaksimumkan apa yang baik untuk negara kita," katanya.

Beliau juga berharap golongan wartawan akan terus amanah dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca masing-masing.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI