Keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor diketahui jam 11 malam - SPR

Thursday, April 22, 2010

Keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dijangka diketahui pada pukul 11 malam, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan mengikut jadual iaitu pada jam 9 malam.

"Sekiranya kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan pada 9 malam, maka kita jangka dapat umumkan keputusan pada jam 11 malam. Tetapi kita tak dapat pastikan sebab mungkin akan berlaku pengiraan semula undi di pusat pengiraan undi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Wan Omar berkata, undi pos untuk pilihan raya kecil itu juga telah diagihkan kepada pasukan polis dan tentera dan mereka yang terlibat akan mengundi pada esok dan Jumaat ini.


Proses membuang undi pos akan dijalankan di ibu pejabat polis daerah dan kem tentera di Kuala Kubu Bahru, katanya.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional P. Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Wan Omar turut merayu kepada semua pihak agar menghormati pihak penguat kuasa SPR memandangkan banyak aduan diterima membabitkan pekerja-pekerja pilihan raya daripada parti yang bertanding tidak mendengar arahan SPR.

"Ini sebenarnya satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya," katanya yang menasihatkan kesemua pihak agar mematuhi peraturan pilihan raya.


-Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI