Ayu Damit sudah berkahwin

Saturday, April 24, 2010

Kalau tidak bersalah mengapa perlu lari? Itulah persoalan yang berlegar dalam minda wartawan hiburan tempatan mengenangkan tindakan Norayu Damit (Ayu), 21, melarikan diri daripada pihak media usai konsert amal Kau Di Hatiku anjuran Adibah Noor Entertainment di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah gempar, Ayu dikatakan menanggalkan kasutnya, berlari sambil berkaki ayam. Mengapa sampai begitu dan apa rasional dia bersikap demikian? Hanya Ayu saja memahami itu semua. Apa yang jelas, kejadian itu seolah mengiyakan segala desas-desus berhubung pelbagai spekulasi dan khabar angin kurang enak membabitkan dirinya, akhir-akhir ini.

Sebelum ini kehilangan Ayu secara tiba-tiba sememangnya menimbulkan tanda tanya. Ada khabar angin mengatakan Ayu kononnya hamil sebelum berkahwin dan mahu menutup aib keluarga. Kesan daripada tindakan (menghilangkan diri) itu, Ayu dikatakan banyak menyusahkan pihak pengurusan The8Unit dan wakil syarikat rakaman, Monkey Bone apabila jejaknya sering gagal dihidu.

Lantaran daripada pelbagai kenyataan yang dikeluarkan, ia membangkitkan keinginan ramai untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada juara One In A Million (OIAM) bagi musim kedua itu.

Sekian lama membiarkan segala spekulasi berlegar, akhirnya Ayu tampil keluar daripada sarang persembunyian sekali gus menjelaskan segala spekulasi mengenai 'kehilangannya' selama ini.

"Pertemuan pada hari ini selain untuk menyatakan bahawa saya sudah bersedia untuk aktif semula. Kesempatan ini juga digunakan untuk meleraikan segala spekulasi yang pernah diperkatakan sebelum ini. "Saya akui saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki. Saya berharap jawapan ini dapat mengakhiri segala persoalan yang timbul. "Kehilangan saya selama ini adalah disebabkan kesibukan menguruskan rumah tangga dan anak saya yang masih kecil," jelas Ayu.

Ayu berkata, tindakannya menyembunyikan perkahwinan daripada pengetahuan umum bukan untuk mencabar mana-mana pihak sebaliknya menghormati permintaan keluarganya serta suami yang enggan perkara itu disensasikan.

"Saya terpaksa mengambil keputusan itu atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak. Sebagai anak, saya perlu menghormati dengan permintaan mereka dan berharap peminat memahaminya.

"Kalau ikutkan hati, memang saya ingin berkongsi kegembiraan saya dengan semua orang perkembangan diri saya sekarang sebagai isteri dan ibu. "Namun atas permintaan keluarga khususnya pihak lelaki yang tidak mahu perkara (perkahwinan) ini dihebahkan saya terpaksa akur. Bagi mereka, cukuplah saya seorang saja yang ke depan dan rasanya wajarlah saya menghormati keputusan mereka.

"Pada hari ini, saya tampil membuat pengakuan kerana saya tidak mahu peminat dan pihak media terus-terusan membuat spekulasi. Lagipun, sudah sampai masanya untuk saya kembali kembali aktif menyanyi," katanya.


Tidak mahu menyatakan secara terperinci bila tarikh perkahwinannya, Ayu menikahi duda beranak dua Syed Fauzi Syed Baharuddin, tahun lalu dan majlis dilangsungkan di Kuala Kangsar, Perak secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga terdekat kedua belah pihak. Hasil perkahwinan itu, pasangan muda ini dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Nashrul Haikal.

Ayu menyifatkan Syed Fauzi seorang suami kerana dia seorang yang baik, memahami dan banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.

"Saya datang dari kampung dan sememangnya bukan mudah hidup di kota besar ini yang penuh cabaran ini. Saya mengaku pernah terkena kejutan budaya.

"Ketika saya tidak mempunyai sesiapa di sini, dia selalu ada bersama saya. Perkenalan kami cukup singkat sebelum akhirnya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga," katanya.

Mengulas dakwaan kononnya kehilangan Ayu itu disebabkan berbadan dua sebelum berkahwin, penyanyi bersuara lantang itu menafikan perkara berkenaan. Pun begitu, dia akui tidak berupaya menutup mulut orang ramai.

Belum sedia untuk mendedahkan identiti suami dan anaknya, Ayu berkata, kesepakatan bersama keluarga masing-masing sudah diputuskan. Malah, Ayu tegar untuk tidak mengheret suami dan anak menjadi tatapan umum.

Popular dengan lagu Hanya Di Mercu, Ayu turut melahirkan kekesalannya kerana banyak menyusahkan pihak pengurusan The8Unit dan syarikat rakaman Monkey Bone sejak kehilangannya itu.

Dia juga memohon maaf diatas tindakannya 'melarikan diri' daripada pihak media usai konsert amal Kau Di Hatiku anjuran Adibah Noor Entertainment di Hotel Berjaya Times Square, baru-baru ini.

"Saya merasakan malam itu bukanlah waktu yang sesuai untuk saya memberikan kenyataan kerana tidak mahu cerita peribadi saya menenggelamkan kehebatan majlis anjuran Adibah itu sendiri.

"Kak Adibah sudah bekerja keras dan bertungkus-lumus untuk menganjurkan majlis berkenaan. Justeru wajarlah liputan lebih diberikan kepada majlis itu. Berkenaan saya berlari sambil menanggalkan kasut, saya sebenarnya sakit tumit kerana sudah lama tidak memakai kasut tinggi," katanya.

Berkongsi pengalamannya bergelar ibu, jelas kehadiran Nashrul yang dilahirkan melalui pembedahan mengubati segala lara. Meskipun kekok pada mulanya menguruskan anak, Ayu bersyukur kerana Nashrul tidak banyak ragam.

Kemunculan Ayu dalam sidang media diadakan di pejabat 8TV, Khamis lalu bukan saja untuk menjelaskan kehilangannya tetapi juga menandakan kesediaannya untuk aktif semula dalam nyanyian.

"Selepas agak lama berehat, saya sudah bersedia mental dan fizikal untuk aktif kembali dalam bidang seni. Sekarang ini saya sibuk dengan persiapan untuk menjayakan persembahan di Anugerah Industri Muzik ke 17 (AIM17) yang bakal berlangsung 2 Mei nanti.

"Selain itu, saya akan kembali sibuk merakamkan album kedua yang kini sedang dalam proses mengumpul material. Saya berharap dengan permohonan maaf ini juga semua pihak sudi memaafkan saya sekali gus menerima saya kembali dalam industri," katanya. Pengarah Eksekutif Metropolitan TV Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar, yang turut menyaksikan sesi temubual itu berkata, meskipun Ayu pernah menimbulkan masalah kepada pihaknya, mereka sudah pun memaafkan Ayu.

"Kami sayangkan bakat yang ada padanya disebabkan itu kami masih memberikan peluang kepada Ayu. Mengenai tindakan sebelum ini, kami menganggap ia sebahagian daripada pengajaran yang akan mematangkannya," kata Izham sambil disaksikan Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian dan Ketua The8Unit dan Monkey Bone, Jacynta Au Yong.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI