Kereta Kickdefella dibaling kapak

Tuesday, January 12, 2010

Kenderaan Pelbagai Guna Sukan (SUV) penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, yang lantang mengkritik Kerajaan Kelantan dibaling dengan kapak dalam kejadian dekat Demit di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, balingan kapak memecah cermin belakang SUV Nissan X-Trail milik mangsa manakala senjata bahaya yang digunakan jatuh berdekatan.

Kapak dengan ulu besi sepanjang 30 sentimeter itu, dipercayai dibaling dari jarak lapan meter dari SUV berkenaan oleh penyerang yang menaiki sebuah kereta dari luar pagar banglo disewa penulis terbabit.

Syed Azidi berkata, ketika kejadian, isteri dan empat anaknya sudah tidur di tingkat atas, sementara beliau di dapur untuk membuat minuman.

"Tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman di luar rumah, disusuli kaca berderai. Saya meninjau menerusi tingkap sebelum melihat sebuah kereta berada di pintu pagar rumah.

"Saya membuka pintu sebelum mendapati pemandu kereta itu memecut sebelum berpatah balik dan berhenti di depan rumah sebelum melarikan diri.

Syed Azidi adalah bekas Pegawai Perhubungan Korporat di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebelum ditamatkan kontrak serta merta mulai 10 November 2009 lalu.

Beliau menolak kemungkinan serangan kapak itu didalangi ceti haram kerana tidak berdepan masalah hutang.

"Ia ada kaitan dengan tulisan negatif mengenai keluarga Menteri Besar Kelantan dan sebuah syarikat swasta menerusi blog yang saya kendalikan," katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, yang meninjau tempat kejadian berkata polis masih menyiasat motif serangan kapak itu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI